Tuesday 14 July 2009

Fungsi dan Simbolisme













Senibina masjid - Antara fungsi dengan simbolisme

Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

MASJID Quba adalah masjid yang mula-mula dibina oleh Rasulullah s.a.w.MASJID bermaksud tempat bersujud atau bersolat, yang berasal daripada perkataan sajada.
Dalam pengertian ini masjid bukan hanya sebagai tempat solat tetapi sebagai tempat ibadah dalam pengertian yang luas.
Dalam memenuhi fungsi tersebut, perlu ada keseragaman di dalam bahasa senibina untuk tujuan beribadah dengan fungsi bangunan.Berdasarkan kepada perkembangan senibina masjid, kini dapat diklasifikasikan masjid kepada empat kategori:
1. Masjid dengan penampilan reka bentuk berkubah seperti senibina yang terdapat di al-Hamra, Sepanyol atau Asia Barat.
2. Masjid dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, China dan lain lain.
3. Masjid generasi pertama yang dibangunkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
4. Masjid dengan bentuk penampilan moden atau keluar daripada gaya senibina yang klasik.
Adanya keempat-empat klasifikasi ini menandakan bahawa senibina masjid lebih bebas jika dibandingkan dengan senibina bangunan keagamaan yang lain.
Meskipun demikian dalam hal pembinaan masjid terdapat beberapa perkara asas yang perlu di pentingkan iaitu sebagai tempat ibadat. Ibadat di sini bukannya dalam erti kata solat semata-mata sebaliknya mempunyai pengertian yang luas tentang konsep ibadat.
Membaca, menuntut ilmu, memakai pakaian yang indah, berseloka bersama isteri juga dinilai sebagai ibadat, seandainya dibatasi perilaku yang ditetapkan oleh syariat.
Di dalam senibina antara unsur yang sering diperhatikan merupakan bumbung bangunan tersebut, unsur ini paling kuat memberikan karakter kepada sesebuah senibina.
Bayangkan bangunan Perpustakaan Negara tanpa bumbungnya, bagaimana jika Panggung Negara yang dikatakan menggunakan sirih junjung tanpa junjungannya, apakah masih berfungsi sebagai Panggung Negara? Bumbung bukan sahaja berfungsi sebagai melindungi panas dan hujan semata mata tetapi juga menjadi media ekspresi estetika dan perlambangan .
Dalam sejarah perkembangan kebudayaan Islam, masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat solat semata mata. Rasulullah dalam membina masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam pada ketika itu. Meskipun demikian, masjid sebagai tempat suci tetap terpelihara kesuciannya.Oleh kerana itu terdapat perkara-perkara tertentu yang dilarang dilakukan di masjid.

Salah satu hadis pernah menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melarang orang ramai berurusan jual-beli di masjid meskipun dengan secara lisan (seperti perjanjian jual beli), dan Baginda Rasulullah menyuruh orang yang melihat agar semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada orang yang berjual-beli di masjid. (Riwayat Tirmizi daripada Abu Hurairah).
Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Jumuah ayat 9-10 menyebut: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingatkan Allah (solat) dan tinggalkanlah jual-beli. Kerana yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya.

Apabila telah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah serta sentiasa mengingati Allah banyak banyak supaya kamu memperoleh keuntungan.
Dalam ayat di atas jelas sekali bahawa amalan berjual beli haruslah dilakukan di luar masjid. Dalam hadis yang lain Nabi Muhammad s.a.w. amat melarang orang yang berada di dalam masjid mengeraskan suaranya, meskipun ketika sedang membaca al-Quran, kerana suara yang keras dapat mengganggu orang yang sedang solat.

Dengan demikian jelaslah bahawa meskipun masjid mempunyai banyak fungsi, tetapi dalam perkara-perkara tertentu ada yang dilarang keras untuk dilakukan di dalam masjid.

Sehubungan dengan fungsi masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam, maka bahasa senibina yang digunakan seharusnya diterima mudah masyarakat setempat. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. masjid yang mula-mula dibina merupakan Masjid Quba, senibinanya sangat sederhana, berbentuk segi empat dengan bahagian hadapannya ditutupi dengan atap daripada pelepah kurma, sedangkan di bahagian belakang tidak berbumbung langsung. Bentuk ini kemudiannya dijadikan dasar serta panduan kepada senibina masjid seterusnya.

Dalam perkembangan kini, bersesuai dengan pemikiran manusia yang melalui proses transformasi, senibina masjid juga mengalami perubahan dan perkembangan dalam memenuhi fungsinya sebagai sebuah masjid .
Dalam sesebuah masjid terdapat khusus tempat solat yang disebut livan, di bahagian kiri dan kanan livan terdapat bangunan memanjang yang disebut ruwak.
Bahagian bahagian ini berfungsi sebagai tempat persinggahan musafir untuk beristirehat, tempat untuk mengaji al-Quran dan tempat bermusyawarah. Di tengah-tengah ruang masjid terdapat ruang terbuka (tanpa bumbung) yang disebut shan.
Halaman ini berfungsi sebagai tempat perhimpunan dalam kelompok yang ramai dan kadang kala digunakan juga untuk tujuan latihan peperangan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang (shan) seperti yang biasa terdapat di Asia Barat. Masjid Kampung Laut di Kota Baru (dibina sekitar 1700 Masihi) dan Masjid Agung Demak (1479M), di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.
Pada masjid-masjid lama biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk juga dikatakan merupakan lambang samudera, Doktrin kosmologi pada ajaran Hindu dan Buddha yang menyatakan bahawa alam ini dikelilingi oleh tujuh samudera yang berpusat di Mahameru, dengan demikian lengkaplah bahawa masjid merupakan lambang makrokosmos.

Di samping berfungsi sebagai masjid, ia juga mengandungi makna simbolisme yang berisi ajaran-ajaran Islam. Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk senibina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstruktif mahupun dekoratif.Prinsip rekabentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka adalah berasaskan rekabentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya senibina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi daripada bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang denahnya bujur sangkar dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka.

Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolisme atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesme. Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarekat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan perbuatan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenai Allah yang maha tinggi.

Pada bahagian puncak atap masjid biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, lafaz Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam, lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab, ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia.
Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.

Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bhosporus dan Konstantinopel, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara.Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah Maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa dilingkupi bentuk lain.

Perkara ini melambangkan Allah sahaja yang diingati atau dituju semasa bersolat. Allah merupakan zat yang maha tinggi dan maha segala galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam. Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.
Namun demikian masyarakat Islam hari ini menganggap bangunan berkubah sebagai identiti masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam. Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya:
Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanfaat. (Al-Isra 17:26)

Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Isra 17:27)Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri secara fungsional dan optimal, dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahan binaan untuk pembangunan masjid hendaklah dihindari daripada kemungkinan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah:
Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (Al-An`am 6:141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah, kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara kedekut (bakhil) juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:
Dan orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil (kikir), akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.(Al-Furqan 25:67)


- AZIZUL AZLI AHMAD, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Cawangan Perak.

Dicatat oleh Azizul Azli Ahmad di 04:45 0 ulasan
Label:

Menara Masjid
















Sejarah menara Masjid di Nusantara
Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Perkataan `menara' berasal daripada kata `nar' yang bermaksud `api'. Pada zaman dahulu, api dipasang pada menara tinggi untuk menandakan masuknya waktu sembahyang, iftar dan imsak serta sebagai pengumuman sesuatu perkara penting.Pemasangan api dapat berfungsi dengan baik. Ia dapat dilihat pada jarak yang berbatu-batu jauhnya.Menara atau `minaret' dalam bahasa Inggeris bermaksud sebuah struktur tinggi yang menjadi sebahagian dari masjid dan mempunyai fungsi khusus sebagai tempat muazin melaungkan azan.
Sejarah laungan azan telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda mengarahkan Bilal Ibnu Rabah memanjat bumbung masjid agar melaungkan azan.Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah sedang memikirkan tentang cara terbaik untuk memanggil kaum Muslimin untuk bersembahyang.Ada yang mencadangkan gendang dan loceng tetapi Baginda tidak menyukainya kerana ia meniru cara orang Kristian dan Yahudi.Pembangunan menara masjid tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.
Diperkirakan oleh sejarawan bahawa pembangunan menara masjid bermula sejak zaman Muawiyah ketika syiar Islam di negara-negara lain mula berkembang.Pembangunan masjid pada waktu itu juga merupakan sebagai simbol kegemilangan perkembangan Islam. Bangunan-bangunan yang terdapat pada kerajaan bukan Islam pada waktu itu telah memiliki menara untuk menempatkan loceng dan gendang.Masjid-masjid tradisi yang dibangunkan di Nusantara asalnya tidak memiliki menara. Faktor geografi menjadikan pembangunan menara kurang berfungsi dan tidak praktikal di lingkungan ini.Kedudukan lokasi, gunung-ganang, pohon-pohon yang rimbun dan kondisi iklim menjadi halangan kepada suara muazin untuk sampai pada tempat yang jauh.
Tidak menghairankan apabila masjid-masjid tradisi di Nusantara kebanyakannya tidak memiliki menara. Seringkali terdapat pembangunan masjid dan menara tidak dibangunkan pada waktu yang sama.Menara Masjid Agung Demak (1479M), masjid tertua di Nusantara misalnya dibangunkan pada waktu yang berbeza.Menara masjid tersebut dibangunkan pada zaman penjajahan Belanda tahun 1912. Menara Masjid Kampung Laut, Kelantan dan Masjid Kampung Hulu, Melaka memiliki keunikan tersendiri.Menara Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka memiliki gaya seperti Pagoda di China.
Di Indonesia masjid yang memiliki menara pada asal pembangunannya hanya Masjid Kudus, di Jawa Tengah.Masjid ini memiliki sejarahnya yang tersendiri. Ia dibangunkan sejak zaman sebelum kedatangan Islam. Proses Islamisasi telah merubah fungsi sebuah candi Hindu menjadi masjid, melahirkan gaya menara yang tersendiri.Keunikan sejarah ini juga menjadikan orientasi kiblat masjid ini tidak tepat ke arah kiblat.Masjid Agung Banten, Jawa Barat memiliki menara yang berfungsi sebagai rumah api bagi kawasan sekitarnya. Lokasi Banten yang terletak di persisiran pantai menjadikan menara masjid itu berfungsi sebagai rumah api, membantu pelayaran kapal dagangan.Reka bentuk menara masjid yang dibangunkan oleh orang Belanda tersebut masih memiliki pengaruh Belanda dan kesenian Indonesia.
Implikasi kefahaman tentang asal-usul menara terhadap reka bentuknya pada masa kini masih merupakan suatu simbol atau mesej penting tentang kewujudan sebuah masjid di sesuatu tempat.Walaupun fungsi menara hari ini bukan merupakan sebuah tempat untuk menyalakan api dan muazin melaungkan azan, ia masih menjadi simbol penting kepada bahasa seni bina dan sebagai petunjuk arah kepada musafir tentang kewujudan sesebuah masjid.-

AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung
Dicatat oleh Azizul Azli Ahmad di 04:57 0 ulasan
Label:

Simbol dan Perlambangan











Masjid Nusantara - Simbol dan perlambangannya

Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Seni bina masjid Nusantara lahir dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, Filipina, Selatan Thailand dan Tanah Melayu. Bahasa seni bina yang dihasilkan memiliki ciri tersendiri serta bebas daripada gaya-gaya seni bina dari Timur Tengah dan India.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang seperti yang biasa terdapat di Timur Tengah.
Masjid Kampung Laut (dibina sekitar 1700 Masihi) Kota Baru dan Masjid Agung Demak (1479M) di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.
Pada masjid-masjid tradisi di Indonesia, biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk dan pembersihan juga dikatakan merupakan lambang samudera.
Di samping berfungsi sebagai rumah ibadat, masjid juga mengandungi makna simbolik yang berisi ajaran-ajaran Islam.

Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk seni bina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstraktif mahupun dekoratif.

Prinsip reka bentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka menurut Halim Nasir berasaskan reka bentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya seni bina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi dari bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang memiliki pelan segi empat tepat dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka. Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolik atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesma.

Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarikat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenal Allah yang Maha Tinggi.
Pada bahagian puncak atap masjid (maksura) biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, kalimah Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam. Lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab.

Ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia. Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.


Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bosporus dan Constantinople, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara. Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.


Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa di lingkupi oleh bentuk lain. Perkara ini melambangkan hanya Allah yang diingati atau dituju semasa bersolat.

Allah merupakan zat yang maha Tinggi dan maha segala-galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya pra syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam.

Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.

Namun demikian masyarakat Islam hari ini telah menganggap bangunan berkubah sebagai identiti dalam pembangunan masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam.

Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanafaat.
(Al-Isra': 26)
Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya. (Al-Isra':27)Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahanbinaan untuk pembangunan masjidhendaklah dihindari daripada kemung-kinan berlebih-lebihan sebagaimanafirman Allah:

Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.
(Al-An`am: 141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara bakhil juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil, akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.
(Al-Furqan : 67)

Walau bagaimanapun perlu kefahaman dan penelitian yang mendalam dalam pembangunan masjid. Cendekiawan Islam Dr. Yusof Qardhawi dalam tulisannya Masjid dan Pembangunan, melarang pembangunan masjid yang menyerupai bangunan-bangunan bukan Islam serta hilang identiti Islam pada bangunan tersebut.

Masjid seharusnya mewakili kefahaan masyarakat serta berfungsi dengan baik terhadap lingkungannya.
- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

Jimat Tenaga





Seni bina istimewa jimatkan sumber tenaga

Oleh Azizul Azli Ahmad






Dari hasil beberapa kajian, ditemukan bahawa penggunaan tenaga pada bangunan dari tahun ke tahun dikatakan meningkat sekitar 5-19 peratus. Kenaikan yang paling drastik berlaku di Amerika Syarikat (AS), sebagai negara pengguna sumber tenaga terbesar di dunia. Penggunaan tenaga dikatakan hampir enam kali ganda daripada kebiasaan pada tahun 1970 hingga 1993 jika dibandingkan dengan masa sebelumnya.
Penggunaan tenaga dalam bangunan untuk tujuan pencahayaan, penyaman udara, lif dan sebagainya direkodkan hampir satu perempat daripada bekalan sumber tenaga dunia pada akhir tahun 1990-an. Lebih membimbangkan, hampir dua pertiganya didapati daripada bahan bakar, seperti minyak dan gas yang dijangkakan usia bahan mentah ini cuma akan bertahan tidak lebih daripada 100 tahun lagi.
Keadaan menjadi semakin buruk di negara-negara membangun, terutamanya di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ini disebabkan oleh faktor ekonomi yang sedang berkembang pesat akan mendorong mereka menggunakan bahan (produk) berteknologi tinggi secara besar-besaran tanpa perlu memikirkan risiko pengurusan sumber tenaga yang banyak berasal daripada minyak.Banyak kajian telah dilakukan di pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat kajian terutama di Eropah Barat terhadap penekanan penggunaan tenaga dalam bangunan.
Hasil-hasil kajian ini juga telah banyak diaplikasikan pada bangunan-bangunan baru, yang mana ia berhasil dalam penjimatan penggunaan tenaga daripada 15 hingga 60 peratus dalam bangunan-bangunan yang telah dibangunkan itu.
Bangunan Brundtland Center, Denmark yang dibina pada tahun 1994 dengan keluasan lantai 1,800 meter persegi hanya menggunakan 40 peratus daripada jumlah tenaga berbanding dengan bangunan-bangunan yang tidak dirancang menggunakan konsep penjimatan tenaga.
Sementara bangunan pemerintahan Inggeris di Wesminster yang menggunakan konsep ini juga mampu menjimatkan sumber tenaga dengan hanya menggunakan sumber tenaga sejumlah 40 peratus daripada kebiasaannya.
Pemikiran yang berkembang di negara-negara Barat itu nampaknya tidak sempat berkembang di bandar-bandar negara membangun seperti Bangkok, Jakarta, Manila, Singapura dan Kuala Lumpur.
Teknologi dan pola aktiviti moden yang ada di negara membangun sebahagian besar masih tetap merupakan `salinan' dari negara Barat pada masa sebelum krisis tenaga tahun 1973, yang cukup memungkinkan ia tidak relevan dengan keadaan semasa di Malaysia.
Banyak bangunan terutama pencakar langit yang terdapat di bandar-bandar Malaysia seperti di Kuala Lumpur, dirancang dan dibangunkan tanpa mempedulikan keadaan iklim setempat. Misalnya bangunan `dibalut' sebahagian atau sepenuhnya dengan menggunakan dinding kaca tanpa diberikan penghalang terhadap kemasukan radiasi cahaya matahari secara terus. Pengetahuan yang klasik tentang `kesan rumah kaca' tidak banyak diperhatikan.
Sekiranya konsep ini diterapkan pada bangunan beriklim Tropika dan Khatulistiwa seperti di Malaysia, hasilnya akan merugikan kita: ruang dalam bangunan akan menjadi panas.
Apabila bangunan dilengkapi dengan penghawa dingin, tenaga yang diperlukan untuk menyejukkan ruang tersebut akan menjadi lebih besar. `Kesan rumah kaca' ini akan menjadikan ruang meningkat panas serta memerlukan jumlah penghawa dingin dalam kuantiti yang besar.
Penelitian yang dilakukan oleh Dr. Ir. Tri Harso Karyono pada tahun 1993 terhadap beberapa bangunan yang menggunakan penghawa dingin di Jakarta menunjukkan bahawa, penggunaan tenaga elektrik pada bangunan yang mempunyai penghadang matahari mencapai 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding dengan bangunan yang tidak menggunakan penghadang matahari.
Daripada data ini menunjukkan bahawa penggunaan sumber tenaga elektrik akan meningkat pada bangunan yang menggunakan penghawa dingin tanpa menggunakan penghadang matahari. Cahaya yang diterima terus `kesan rumah hijau' menjadikan suhu meningkat dengan mendadak, penghawa dingin terpaksa ditingkatkan agar suhu di dalam bangunan menjadi stabil dan selesa kepada pengguna.
Para arkitek kita perlulah sedar dengan tidak hanya membuat `salinan' terhadap apa yang berlaku di Barat dan semuanya dianggap `kemajuan'. Dengan ini kita dapat mengelak daripada berlakunya kesalahan interpretasi dalam mencontohi negara Barat.Ini juga gagasan pemikiran modernis bahawa negara kita akan dianggap maju seandainya memiliki wajah yang `mirip' dengan apa yang berlaku di Barat, tentu akan lebih banyak salahnya. `Menciptakan' karya seni bina yang mirip secara visual dengan yang terdapat di negara lain dengan iklim yang lain, hanyalah satu pemaksaan. Kita perlu membayar dengan harga yang mahal dari sumber tenaga kita akibat kegagalan arkitek memahami serta kesalahan interpretasi dalam seni bina ini.






- Azizul Azli Ahmad, Program Pascasarjana Arkitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

Friday 10 July 2009

Seni Bina Masjid Masa Hadapan







































































































































































































































































Masjid Futuristik

Seni dan Seni Bina Islam
















Keindahan Dalam Keseniaan




KONSEP KEINDAHAN DALAM KESENIAN ISLAM DAN KAITANNYA DENGAN AL-QURAN

AI-Quran Sebagai Sumber Keindahan dan Kesenian Agung Islam

Al-Quran adalah kitab Allah yang terkandung ajaran Islam. AI-Quran adalah sumber seni yang unggul kerana bahasanya yang indah. Ia merupakan rujukan bagi kesenian Islam yang lain sama ada seni suara mahupun senitampak adalah mendapat imbasan dari Al-Quran. Lantas kesenian Islam berada atas landasan etika terpuji. Manusia dicabar oleh Allah untuk mendatang sesuatu seumpamanya. Mereka tidak mampu mencipta Al-Quran seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya:


“Jika curiga Tentang apa yang Kami wahyukan dari masa ke semasa kepada hamba Kami. Maka buatlah satu surah seumpamanya dan panggil saksi-saksi kamu dan penolong-penolong selain Allah, jika kamu benar”. (Terjemaahan; Surah al Baqaraah-23)

“Tapi jikalau kau tidak (boleh) dan sah kau tidak (boleh) Oleh itu takutilah api neraka di mana bahan bakar dari manusia-manusia dan batu-batu. Yang mana di sediakan kepada mereka yang menolak iman”. (Terjemaahan; Surah al Baqaraah-24)


Maka Al-Quran adalah karya seni yang agung kerana padanya terdapat ciri-ciri berikut:

■ Keindahan sastera yang tinggi yang cuba ditafsirkan di dalam senitampak. Al-quran dikatakan sebagai sastera yang indah dan luarbiasa kerana:
• Al-Quran bukan syair atau sajak syair mempunyai rangkap yang sama dari segi meter (Bilangan,kepanjangan dan kedudukan sukukata)
• Sajak adalah prosa dengan ayat dan rangkaikata yang ditandai dengan rima.
• Al-Quran bukan syair atau sajak walaupun setengah-setengahnya bercirikan sajak & syair.
• Al-Quran gunakan unsur syair dan sajak secara bebas bagi meningkatkan keindahan dan kelancarannya.
■ Surah dalam Al-Quran terdiri dari perkataan & frasa yangg benar dan tepat pada maknanya.
■ Perkataan dari frasa Al-Quran dari satu ayat atau sebagahian ayat dapat di samakaan atau di bezakan secara tepat dengaan perkataan dan frasaa sebelumnya atau sesudahnya. Sama ada dari segi pembinaan atau makna.
■ Perkataan dan dan rangkaikata Al-Quran menyatakan makna yang paling kaya dan kuat dengan mengunakn bentuk yang amat mudah.
•Tidak meleret- tiada berlebihan (Al-Quran-akhlak Rasullullah adalah Al-Quran)
• Tapi keringkasan bukan prinsip hakiki.

Imbasan alQuran dapat dilihat pada seni Arabesque yang menghiasi permukaan dinding binaan Islam yang berulang-ulang
seperti tiada penghujungnya.

Seni ayat al Quran atau khat pula adaalaah sumber hiasan pada bentuk tampak dan bacaan yang dilagukan.

Kesimpulannya alQuran adalah sumber unggul kepada kesenian Islam.

Warna dalam Seni Bina Islam


Warna dan Bahan Binaan Dalam Senibina Islam

Kesenian awalan Islam diperingkat awal penyebaran Islam lebih bersahaja dimana faktor ‘kegunaan’ lebih ditekan dari keindahan. Masjid awal Islam mudah dari sudut binaan dengan teknik binaan yang tradisional. Permukaan tidak dikenakan dengan bahan yang Indah dan mahal . Masjid terawal sepertl Masjid Nabawi pada zaman sahabat,memakruhkan,perhiasan pada binaan, Masjid Kairowan dan Masjid lbn Tulun iaitu dua masjid yang dikira terawal dalam Islam mengenakan bahan dan bumi yang berwarna asli menampiIkan suasana yang hening. Kemewahan bahan dan warna dikenakan apabila Islam di zaman Umayyad mula berdepan dengan tamadun yang maju dalam binaan seperti tamadun Byzanten dan Parsi. Zaman Safawi dan Othmani senibina telah mencapai kecemerlangan dari sudut penggunaan warna dan bahan.

Hiasan permukaan dalam bentuk, corak dan tulisan adalah satu elemen penting dalam kesenian Islam yang menjadi penyatu kepada semua bentuk kesenian tampak seperti senibina, senilandskap, seniukiran, seramik, logam dan lain-lain. Hiasan permukaan adalah berbagai, dari yang mudah hingga yang komplek dengan kebolehan para pengkarya Islam memanipulasi bahan dan warna dengan sepenuhnya. Tujuan hiasan antaranya untuk menidakkan bahan atau menyembunyikan bahan dengan mengenakan jalinan dan warna pada permukaan. Secara umumnya hiasan ini menampakkan corak-corak yang infinit iaitu yang tiada berkesudahan yang menjadi tema utama dalam kesenian Islam.

Dalam senibina Islam di Andalusia dan Afrika Utara penggunaan jubin berwarna sebagai hiasan diapplikasi pada bahagian dinding bawah dengan motif geometri. Warna dan bentuk jubin adalah bebas. Bahan dari jubin dan stucco merupakan dua bahan yang umum digunakan di kawasan tersebut. Di Iran dan Asia Tengah pula jubin dan batu bata adalah dua bahan yang penting pada binaannya. Manakala di negara yang bergunung-ganang bahan dari batu banyak diguhakan. Di Asia Tenggara bahan dari kayu dan kadang-kadang batu digunakan dengan meluas pada binaan masjid dan istana.

Dinasti Umayyad.

Senibinanya banyak tertumpu di Bandar Damsyik di Syria sebagai pusat pemerintahan dan Palestin. Umumnya, penggunaan bahan hiasan pada permukaan binaan adalah dari marmar, jubin/mozek dan stucco. Mozek dan marmar digunakan pada permukaan luar dan dalam bangunaan masjid seperti pada Kubah Batu Karang(Dome of the Rock), MasjidiI Aqsa dan Masjid Besar Damsyik, manakala stucco di istana-istana. Struktur pada Kubah batu Karang adalah dari batu padat yang dilapisi dengan bahan hiasan sebagaimana disebutkan. Penggunaan warna dalam Kubah Batu, Masjid Aqsa dan MasjId Damsyik lebih menampilkan warna kehijauan berlatarbelakangkan warna coklat sebagaimana terdapat pada lengkungan dalamnya yang terdiri dari hiasan tumbuham yang agak ‘natural’. Umumnya hiasan mozek pada binaan yang tersebut adalah masih asli,

Dinasti Abassid

Senibinanya banyak mengalami kemusnahan kerana serangan Monggol. Bahan binaan umumnya dari ‘mud-brick’ dan batu bakar dan permukaan dilapisi dengan hiasan stucco.Terdapat juga bahan dari jubin berwarna. Penggunaan stucco begitu meluas
pada istana-istana yang menampakkan bentuk binaan berwarna ‘natural’. Istana Mshatta yang telah pupus di mana kesannya terdapat di Museum di German menampilkan penggunaan stucco dengan hiasan tumbuhan dan binatang. Masjid al-MutawakkiI dibina dari batu bakar yang menampakkan ciri warna coklat keputih-putihan pada keseluruhannya. Umumnya kegunaan warna dalam dinasti ini kurang diketahui.


Dinasti Safavid.

Mempunyai persamaan dengan dinasti Timurid dari sudut penggunaan bahan dan warna. Dinasti Timurid lebih berani dan kasar dari segi pengggunaan warna. Dinasti Safavid menampakkan sedikit terkawal dalam hal ini. Senibina Safawi menggunakan warna biru dan ‘turquoise’ pada permukaan binaan adalah popular dan meluas dengan di bangkitkan dengan warna putih, hitam hijau, dan juga kuning dan jingga. Masjid Shah bagi dinasti Safawi adalah contoh terbaik dalam penggunaan. Jubin yang ditampilkan dalam bentuk kaligrafi, flora dan geomeri. Pada Masjid tersebut jubin biru lebih ketara. Kecenderungan kepada menghiasi permukaan dalam dan luar dengan bahan jubin berwarna yang bersinar adalah satu identiti penting. Penggunaan jubin adalah pengaruh dari Timurid yang dipengaruhi oleh Cina.


Dinasti Othmani.

Dalam senibina ini warna batu ditampilkan pada bahagian luar. Disini menunjukkan penggunaan bahan dari batu adalah meluas dalam senibina Othmani. Senibina Othmani menampilkaan warna kelabu dan gelap pada pandangan luarannya. Bahagian dalam
binaan dihias dengan jubin di mana biru pekat dan hijau menjadi warna utama dengan disertai dengan warna ‘deep tomato red’. Kebanyakkan kesenian siramik yang lain menggunakan warna biru secara meluas. Terdapat juga bahan dari kayu menjadi
popular di zaman ini,


Dinasti Moghal.

Zaman Moghal di India menampilkan warna permukaan bangunan dengan sederhana dan terkawal iaitu tiada warna kesan kontras yang kuat lebih tertumpu kepada memberi kesan secara keseluruhan. Menampakkan kematangan dalam memanipulasi dan menggunakan warna. Penggunaan warna yang terhad ada kena mengena dengan penggunaan batu marmar putih atau batu bata merah yang memperlihatkan skema ‘monochrome’ seperti Taj Mahal di Agra dan Red Fort di Delhi.

Keindahan Islam




Keindahan Dalam Kesenian Islam

Menurut Anwar Talib[i] dalam kajian sarjana beliau tentang keindahan kesenian Islam beliau menggambarkan ‘bahawa keindahan’ adalah subjek yang sentral atau utama malah menjadi objektif kepada setiap pengkaryaan bahan seni. Ini adalah adalah berdasarkan kenyataan bahawa keindahan itu merupakan manifestasi daripada sifat-sifat Tuhan.

Keindahan Tuhan atau Al-Jamal merujuk kepada kebenaranNya atau Al-Haq dan kesempurnaan Nya atau Al-Kamal dan sifat-sifat tersebut saling berkaitan dan terkumpul pada (NamaNya) Allah yang Esa atau Ahad. Justeru itu setiap karya kesenian Islam bertujnaaan dan ke Esaan Allah.

Hasil kerja yang indah dalam segala bentuk kesenian Islam terdahulu memupuk suasana yang mendorong jiwa kepada ‘Yang Benar’.

Dalam Islam keindahan dikaitkan dengan keinginan kepada sumber mencari kebenaran, ‘Tuhan itu indah dan Dia cintakan kepada Keindahan’. (Perawi Muslim).

Dalam Islam keindahan seni terhasil melalui jalan rasional dengan perundangan yang logik lagi objektif dimana sains, matematik dan astronomi menjadi alat untuk melahirkan seni yang indah. Maka prinsip rekabentuk dapat ditemui dengan jelas tanpa sebarang kekaburan. Prinsip-prinsip tampak seperti kadaran, ulangan, keseimbangan simetri, susunan, kepelbagaian, dan keharmonian dinyatakan dalam bentuk tampak dengan berkesan dan tepat. Prinsip keindahan tersebut adalah ‘fundamental’ dalam kesenian Islam kerana sifat seninya yang menolak kecelaruan, ketegangan, individualistik, kekacauan, provokatif dan lain-lain sifat seni yang tidak tenteram.

Semestinya estatika atau keindahan dalam kesenian Islam berdasarkan kepada kalimah Tawhid atau kalimah Tayyibah. Kalimah yang dipertahankan dengan nyawa atau apa saja. Disini bermaksud bahawa para pengkarya yang taqwa dan berakal menampilkan kerja seni dengan tuntunan kalimah tersebut tanpa menyinggung Penciptanya. Kalimah tersebut ditegaskan dengan Al-Quran dimana AI-Quran itu sendiri adalah wahyu yang terindah dari sudut sasteranya dan ianya menjadi bahan rujuk agama dan juga seni. Pengkaji seperti L. Faruqi mendapati pada Al-Quran mempunyai keindahan dari sudut bahasa dan sastera dan ianya berciri ‘abstrak’ yang tidak mampu ditiru.

Estatika kesenian Islam didasarkan kepada sifat Tawhid tentunya mendapat petunjuk dari Wahyu iaitu Al-Quran dan as-Sunnah walaupun secara tidak langsung. Umumnya keindahan kesenian Islam ditelusuri dengan melihat atau mengamati kesenian arabes dan kaligrafi iaitu ‘seni utama’ yang menyatukan seni seni lain. Dari dua jenis seni tersebut maka dapatlah dikaji dan dianalisa bentuk dan ‘content’ kesenian Islam. Pada kedua-dua jenis kesenian itu dapat dirumuskan bahawa terdapat ciri-ciri stalisasi, ulangan, tiada penonjolan atau ‘non-individuation’, tiada berkembang atau ‘non-developmental’, bersambungan dan bersendirian. Keseluruhan ciri tersebut secara tidak langsung menekankan kepada pernyataan Tawhid iaitu seni yang monggambarkan Tuhan yang tiada upaya dan daya untuk digambarkan.

Stalisasi ditakrifkan sebagai upaya merubah alam kepada yang esensi atau bentuk alam diubah menjadi bentuk abstrak sebagai gesaan untuk tidak meniru hasil ciptaanNya terutama makluk bernyawa. Secara tidak langsung bererti tidak mahu menyamai ciptaanNya. CiptaanNya itu dengan demikian dimuliakan lagi dihormati sebagai tanda-tanda kebesaran Allah. Hal ini juga berhubungkait dengan isyarat Al-Quran yang menyatakan tiada sesuatupun yang menyerupaiNya.

Ketiadaan penonjolan bermaksud bentuk tidak menampakkan penonjolan kerana bentuk itu diulang-ulang seperti tiada akhirnya. Bentuk-bentuk tersebut tidak membawa kepada penegasan. Secara simbolik, bermaksud Allahlah yang mula dan dan Dialah yang akhir, kekal dan selama-lamanya. Secara tidak langsung ianya amat berhubung kait dengan cetusan kefahaman Tawhid.

Ulangan atau ‘repitition’ bermaksud bentuk diulang-ulang tanpa akhiran. Tiada berkembang bermaksud ketiadaan kemuncak dan anti-kemuncak di mana ciri-ciri tersebut berhubungan dengan cetusan penghayatan Tawhid para pengkarya yang mengenal Islam.

Tema infiniti dalam arabes dan kaligrafi menjelaskan kefahaman Islam tentang bagaimana keseniannya perlu dibentuk dan dengan ini membezakannya dari kesenian lain. Justru itu, keindahan yang difahami oleh Islam adalah berpaksikan anjuran Tawhid yang membentuk ciri-ciri kesenian Islam.
[i] Talib, Anwar.1998. The Tradition of Tauhid in Islamic Art; Decoration and Interior Spaces of The Traditional Mosque. Thesis UKM.

Pengenalan Kesenian Islam




AI-Quran dan As-Sunnah Sebagai Sumber Kesenian Islam

Menurut Ismail Al-Faruqi, AI-Quran adalah sumber seni par excellence yang mencetus kesenian Islam[i]. Fakta ini adalah benar kerana menifestasi kesenian Islam atas dasar wahyu telah berlangsung berabadabad lamanya sehingga kini. Menifestasi ini dapat dilihat pada seluruh penghasilan umat Islam terdahulu dan sekarang. Terdapat hubungan akrab antara AI-Quran dengan hasil seni Islam di mana Al-Quran membentuk kesenian tersebut kerana adanya keupayaan mendidik atau sebagai satu bahan seni yang tertinggi yang didatangkan dari ‘atas’ sebagai rahmat kepada sekelian alam. Kenyataan ini tidak dapat disangkal kerana Allah menegaskan dengan firmanNya yang bermaksud:

Jika kamu ragu-ragu tentang yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya dan panggillah saksi saksi mu lain dari Allah, jika kamu orang yang benar (Al Quran, 2: 23).

Al-Quran adalah wahyu yang tidak mampu ditiru oleh manusia dan bersifat ‘segar’ dan sepanjang zaman. Sejarah Islam membuktikan bahawa setelah dicabar oleh Allah, mereka yang tampil untuk mencipta surah seumpama wahyu ini menemui kebuntuan. Kehebatan wahyu yang terus-menerus diemulasi oleh kaum Muslim bukan setakat sebagai panduan hidup tetapi juga sebagai bahan rujuk kepada kesenian Islam.

Menurut Ismail Al-Faruqi lagi, AI-Quran bukan bahan sastera yang mempunyai jalan cerita sebagaimana bahan sastera ciptaan manusia. AlQuran memberi khabar gembira, perintah, larangan dan harapan. Ternyata ia adalah wahyu Allah kepada kekasihNya untuk manusia yang disampaikan dengan perantaraan Ruhul Kudus melalui lisan Arab. AlQuran disusun dengan arahan Allah melalui Jibrail Alaihissalam bersama Nabi Besar tanpa patuh pada urutan sejarah dan hal ini membuat ianya sangat unik. Ayatnya bebas dan tidak tertakluk kepada kaedah prosa yang bersifat narratif sebagaimana terdapat dalam karya sastera ciptaan manusia. Ayat AI-Quran boleh bermula dengan pengkisahan, tiba-tiba selepas itu dengan ayat amaran, larangan dan sebagainya. Justru, AlQuran bukan ‘sastera’ yang bersifat organik yang terdapat klimaks dan anti klimaks walaupun ada bahagian-bahagian ayat bersifat demikian. Keseluruhan bentuk dan isi Al-Quran adalah sangat indah dan tinggi nilai sasteranya walaupun ianya bukan bahan sastera[ii]. Keadaan ini telah menampakkan Al-Quran itu bersifat mujarad kerana susunan, bentuk ayat, ketiadaan jalan cerita dan ayat berkenaan dengan konsep ketuhanan itu sendiri. Cara menggambarkan kesenian Islam inilah diselaraskan dengan apa yang diwahyukan Allah tentang ZatNya yang tidak menyerupai satu apapun[iii] oleh pengkarya Islam. Keadaan ini dikaitkan dengankududukanNya yang ‘Transedent’ yang terpisah, dengan alam tabii ciptaanNya
Waalaupun begitu ia berdaya menanggapi segala sesuatu sebagaimana firmainNya dalam terjemahan berikut:

“Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada”.
(Al-Quran, 57: 4).

Dalam hal ini, perlu jug disentuh berkenaan Nabi Muhammad SAW semasa hidupnya tidak berminat kepada seni lukisan bentuk berwajah asli atau bersumberkan alam tabi. Menurut Abul Hasan Ali An-Nadwi seorang pemikir Islam mengatakan bahawa kebencian Islam terhadap gambar dan patung sudah tersurat dari tindak-tanduk Nabi Besar. Diriwayatkan oleh Bukhary dan Muslim dari Aisyah r.a. mengatakan:

“Rasulullah SAW, Datang dari perjalanan. Saya menutup sebuah pintu dengan kain yang padanya ada gambar-gambar yang timbut (tamatsil). Baru sahaja Rasulullah SAW melihatnya, langsung beliau merobeknya dan muka beliau merah padam. Lalu berkata, “Hai Aisyah, manusia yang paling berat siksanya di hari kiamat ialah orang yang meniru bentuk ciptaan Allah”. Berkata Aisyah, “Kain tutup pintu ini kami potong-potong menjadi satu atau dua buah bantal.”

Ketidak kecenderungan ini mencerminkan tentangan beliau keatas seni yang berunsur figuratif hasil kefahaman beliau menjiwai AI-Quran. Nabi telah mengimbas penolakan terhadap naturalisma kerana beliau telah nampak kesan buruk kemudian hari. Di sini terdapat empat aspek utama yang membentuk kesenian Islam iaitu ayat Al-Quran itu sendiri, kehebatan AI-Quran dalam gaya sasteranya. wahyu-wahyu tentang Allah yang tidak mampu digambarkannya dan tindak balas Nabi terhadap hiasan berbentuk fuguratif yang berupa Sunnahnya. Aspek tersebut telah membentuk kesenian Islam yang umumnya bercirikan ayat Al-Quran yang lebih dikenali sebagai seni khat dan seni bersifat kemujaradan ataupun abstrak yang lebih dikenali sebagai arabes. Tegasnya dalam kontek seni tampak, kesenian Islam hanya dapat dibahagikan kepada dua unsur seni sahaja iaitu seni khat dan seni arabes. Unsur ini yang dikatakan sebagai unsur pemersatuan atau unsur yang memberi keseragaman kepada kesenian yang lain seperti seniruang, seni permaidani, seni ukiran dan sebagainya.
Unsur ini dikatakan sebagai unsur yang menyeragamkan kesenian Islam yang terdapat di seluruh ceruk rantau Islam tak kira di mana sahaja. Di sini terletaknya kehebatan unsur seni ini.
[i] Al-Faruqi, Ismail. (1999). The Culture Atlas of Islam, Macmillan Publishing company, New York.hlm.421

[ii] Al-Faruqi, Ismail. (1999). The Culture Atlas of Islam, Macmillan Publishing company, New York.hlm.421
[iii] Al-Quran, 42: 11