Friday, 2 October 2009


SERUAN ISLAM DI MEKAH

Pengenalan
Segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah dari wahyu Allah yang diturunkan kepada baginda melalui malaikat Jibril. Ia diturunkan secara beransur-ansur dalam jangka masa 23 tahun bermula dari wahyu yang pertama di Gua Hira sehinggalah baginda wafat. Segala wahyu ini telah ditulis dan dihafal oleh umat Islam. Penurunan ayat terbahagi kepada dua, iaitu:
a.
Zaman Makkiyah
Zaman semasa baginda di Mekah sehinggalah berhijrah ke Madinah. Ia memakan masa selama 13 tahun.
b.
Zaman Madinah
Zaman selepas baginda berhijrah ke Madinah. Ia berlangsung selama 10 tahun.

Peringkat Seruan

Peringkat Sirriah (tersembunyi)
Seruan peringkat ini bermula setelah Nabi Muhammad menerima wahyu kedua iaitu dari Surah al-Muddatthir ayat 1-7. Penurunan ayat ini dianggap telah merasmikan perlantikan Nabi daripada seorang "Nabi" kepada seorang "Rasul". Baginda menjalankan dakwahnya secara sulit dan bersembunyi kepada keluarga dan sahabatnya yang terdekat. Mereka ialah Khadijah al-Kubra, Ali Bin Abu Talib, Zaid Bin Harithah dan Abu Bakar as-Siddiq. Melalui Abu Bakar, Islam disebar kepada Abdul Rahman Bin Auf, Uthman bin Affan, Talhah Bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam, Abu Ubaidah al-Jarrah, Amman Bin Yasser dan sebagainya. Mereka digelar sebagai as-Sabiqun al-Awwalun (orang yang terawal memeluk Islam). Seruan ini dijalankan selama 3 tahun dan seramai 55 orang penduduk Mekah memeluk Islam. Arqam Abil al-Arqam telah menyerahkan rumahnya sebagai markas gerakan umat Islam.

Peringkat Jahriah (terbuka)
Seruan kepada Ali Bin Abu Talib dan keluarganya. Seruan ini bermula setalah baginda menerim awahyu dari Surah Asy-Syu'ara'. Baginda mengadakan majlis ceramah di rumah Ali Bin Abu Talib di Bukit Safa dan semua kerabat dijemput termasuk Abu Lahab, bapa saudaranya. Baginda menerangkan dasar-dasar Islam yang telah ditugaskan oleh Allah untuk baginda sampaikan. Ramai yang menyatakan kesanggupan untuk mengikut baginda, tidak kurang yang mencemuhnya. Abu Lahab ialah tokoh pertama yang menghina dan mencerca baginda.

Seruan kepada orang ramai dimulakan setelah baginda menerima wahyu dari Surah al-Hijr. Baginda mula menyeru kepada segenap lapisan masyarakat Mekah di mana-mana sahaja. Seruan secara terbuka ini berlangsung selama 10 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Bentuk Ajaran Islam

Akidah
Nabi memperkenalkan tauhid, iaitu mengesakan Allah dengan segala sifat kesempurnaan iaitu sifat-sifat 20. Sehubungan itu, segala bentuk syirik adalah dilarang termasuklah penyembahan berhala. Nabi menerangkan tentang adanya hari kebangkitan serta perkara-perkara yang berhubung denganya seperti syurga, neraka, titian, neraca dan lain-lain. Baginda turut menerangkan perkara yang berhubung dengan rukun Iman seperti percaya kepada Rasul, kitab-kitab serta percaya kepada Qadak dan Qadar. Seterusnya, Nabi menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab manusia sama ada terhadap tuhan, diri, keluarga dan masyarakat. Setiap individu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan sama ada baik atau buruk.

Akhlak
Selama 13 tahun, Nabi di Mekah telah berusaha membentuk peribadi muslim di samping berusaha mengikis sifat-sifat yang tercela seperti iri hati, takbur, dendam dan sebagainya. Sifat-sifat tersebut perlu diganti dengan sifat tinggi seperti jujur, ikhlas, amanah dan sebagainya. Nabi juga berusaha mengangkat darjat wanita ke tempat yang sewajarnya sama ada di dunia atau di akhirat. Nabi cuba banyak menekankan kepada cerita Nabi dan Rasul yang terdahulu khususnya tentang perjuangan nabi-nabi, balasan yang diterima oleh orang yang ingkar. Hampir 1/3 daripada kandungan al-Quran adalah mengenai sejarah nabi-nabi dan umat terdahulu.

Ibadat
Di Mekah, hanya satu sahaja iaitu ibadat khusus yang difardukan kepada umat Islam. Ibadat ini mula diwajib selepas berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ibadat ini ialah sembahyang 5 waktu sehari semalam.

Rumusan
Cara-cara penyebaran Islam yang dilakukan secara berperingkat jelas menggambarkan kebijaksanaan Nabi dalam soal berdakwah. Baginda mengukuhkan dahulu pengikut-pengikut Islam sebelum mencabar seluruh masyarakat Mekah. Ajaran-ajaran yang baginda bawakan jelas bertujuan untuk menyelamatkan manusia seluruhnya daripada kesesatan kehidupan dunia dan akhirat.



NABI MUHAMMAD S.A.W.

Latar Belakang
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiuawal Tahun Gajah bersamaan dengan 571 Masihi di Mekah. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ibunya telah meninggal dunia apabila Nabi Muhammad 6 tahun.

Bapanya bernama Abdullah Abdul Muttalib dan beliau meninggal dunia apabila nabi dalam kandungan. Nabi dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib yang kemudiannya meninggal dunia ketika nabi berumur 8 tahun. Semasa berumur 12 tahun, nabi mengikut bapa saudaranya Abu Talib ke Syam untuk berniaga. Seorang paderi bernama Bahirah / Buhairah menasihatkan Abu Talib membawa Muhammad balik kerana bimbang dibunuh oleh orang Yahudi.

Ketika berusia 25 tahun, beliau telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid yang berumur 40 tahun. Baginda mempunyai 6 orang anak, iaitu 2 lelaki dan 4 perempuan. Yang lelaki telah meninggal nudia semasa mereka kecil. Sewaktu 35 tahun, beliau diberi gelaran al-Amin kerana berjaya menyelesaikan perbalahan di kalangan pembesar Arab berhubung dengan perletakan batu Hajar al-Aswad.

Perlantikan Sebagai Nabi dan Rasul
Nabi ialah seorang manusia lelaki yang terpilih yang disampaikan wahyu Allah untuk dirinya. Rasul juga sama dengan nabi tetapi Rasul mesti menyampaikan wahyu yang diterimanya kepada orang lain.

Telah menjadi kebiasaan, Muhammad mengasingkan diri di Gua Hira untuk beribadat di samping memikirkan kejadian alam. Akhirnya pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 611 Masihi sewaktu baginda berusia 40 tahun, datanglah malaikat Jibril membawa wahyu pertama, iaitu ayat 1-5, surah al-Alaq. Wahyu ini bermaksud:

bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan kau dan segumpal darah dan bacalah dengan nama Tuhanmu yang mulia yang mengajar manusia yang tidak mengetahui apa-apa.


Selepas menerima wahyu pertama, nabi terus ke rumah menceritakan apa yang berlaku kepadanya dan Khadijah telah membawa baginda berjumpa dengan sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang pendeta yang menghafal kitab suci. Waraqah mengakui yang datang itu ialah Jibril dan ini bermakna baginda dilantik sebagai nabi.

Selepas menerima wahyu pertama, baginda terus ke gua dan pada suatu hari, ketika baginda keluar dari rumah, baginda terdengar satu suara dan apabila baginda mendongak, terlihatlah Jibril. Kerana takut, baginda masuk semula ke rumah dan meminta Khadijah menyelimutkannya.

Ketika inilah turunlah wahyu kedua, iaitu surah al-Mudduthir, ayat 1-7 yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut, bangun dan berilah peringatan, hendaklah engkau menggesakan tuhanmu, bersihkanlah pakaianmu, jauhilah perbuatan dosa, janganlah engkau memberi kerana hendakkan balasan yang banyak dan hendaklah engkau bersabar kerana tuhanmu. Dengan wahyu kedua ini, bermakna Allah telah melantik baginda sebagai Rasul kerana ayat tersebut dengan jelas memerintahkan Muhammad untuk mengingatkan manusia.










YAHUDI

Asal-usul Yahudi di Madinah
Terdapat sarjana yang mengatakan, kaum Yahudi di Madinah berasal dari Palestin. Kedatangan mereka dianggarkan selepas tersebarnya agama Nasrani di Selatan Palestin. Jumlah suku Yahudi yang tinggal di Madinah dianggarkan sebanyak 20 suku. Yang paling terkenal ialah Bani Qainuqa', Bani Nadir dan Bani Quraizah.

Bani Qainuqa'
Bani Qainuqa' ialah puak Yahudi yang paling ramai dan berpengaruh di Madinah. Setalah tiba di Madinah, mereka mendirikan rumah kediaman mereka di kawasan Barat Daya berhampiran Musalla, tidak jauh dari Wadi Buthan. Mereka melakukan aktiviti perdagangan, pertukangan tetapi tidak melakukan kegiatan pertanian. Mereka mempunyai angkatan tentera yang kuat.

Bani Nadir
Bani Nadir ialah kumpulan kedua kaum Yahudi. Mereka berpindah ke Madinah kerana tekanan tentera Rom yang menganut agama Kristian di Palestin. Mereka menetap di Bukit al-Nadir. Mereka dikatakan daripada keturunan Yahudi tulen. Sewaktu di Madinah, mereka menjadi petukang, petani dan peniaga. Kawasan pertanian mereka terletak di wadi yang mengarah ke Selatan kota Madinah.

Bani Quraizah
Ia juga digelar sebagai Darih. Mereka terdiri daripada Bani Ka'b dan Bani Amru. Mereka tinggal di Wadi Mahzur (luar kota Madinah). Mereka bergiat dalam kegiatan pertanian. Mereka memiliki senjata dan makanan yang mencukupi.
AUS DAN KHAZRAJ

Asal-usul Kaum Arab
Asal-usul kaum Arab tidak jelas. Terdapat sumber yang mengatakan mereka berasal dari Arab Utara dan telah berasimilasi dengan agama Yahudi. Bagi puak Arab yang baru, mereka terbahagi kepada dua kelompok besar iaitu Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai Bani Qailah. Mereka berasal dari kawasan Selatan Semenanjung Arab.

Ketibaan mereka dikatakan bermula sejak runtuhnya Empangan Maarib di Yaman. Sesampai di Madinah, mereka menjalankan aktiviti pertanian di pinggir kota. Apabila mereka menjadi kuat, mereka telah menguasai Madinah dengan bantuan tentera Kristian Syam yang memihak Kerajaan Rom Timur. Kenaikan mereka menyebabkan kaum Yahudi tidak senang. Mereka merancang memecahbelahkan puak Arab baru ini. Akhirnya, peperangan berlaku dan suku Aus mencapai kemenangan kerana adanya sokongan Yahudi.

Suku Aus
Jumlah suku Aus adalah lebih kecil dari Khazraj. Pengaruh mereka juga kurang. Sebelum Islam, mereka terdiri daripada penganut berhala. Mereka mempunyai ilmu ketuhanan dan kenabian yang lebih tinggi dibanding dengan Quraisy.

Suku Khazraj
Jumlah suku Khazraj adalah besar dan pengaruhnya juga besar kalau dibandingkan dengan suku Aus. Seperti suku Aus juga, sebelum kedatangan Islam, mereka terdiri daripada penganut berhala dan mempunyai ilmu ketuhanan dan kenabian yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kaum Quraisy.

Quraisy

QURAISY

Asal-usul Quraisy

Perkataan Quraisy berasal dari kata dasar "taqarrasya" yang bermaksud penyatuan. Hal ini disebabkan kejayaan Qusai bin Kilab menyatukan kaum Quraisy di Mekah. Qusai bin Kilab adalah datuk keempat Nabi Muhammad. Beliau adalah dari keturunan Kinanah yang berasal dari keturunan Nabi Allah Ismail.

Qusai bin Kilab telah berpindah bersama ibunya dan dibesarkan di Syam. Setelah dewasa, beliau kembali ke Mekah dan berkahwin dengan seorang gadis dari Bani Khuzaah yang memegang pemerintahan kota Mekah. Pada tahun 440 M, Qusai bin Kilab berjaya mengalahkan Bani Khuzaah dan mengambilalih pemerintahan Mekah. Daripada kalangan Quraisy, muncul ramai tokoh terkemuka seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muawiyah dan lain-lain. Di dalam kabilah Quraisy, terdapat beberapa bani yang terkenal seperti Bani Hasyim, Bani Umayyah, Bani Adi, Bani Taym dan sebagainya.

Struktur Sosial Quraisy

Struktur sosial Quraisy boleh dibahagi dua, iaitu Quraisy al-Bittah dan Quraisy al-Zuwahir. Istilah ini diperolehi semasa orang-orang Quraisy memasuki Mekah pada tahun 440 M. Mereka memasukinya melalui Lembah al-Bittah. Terdapat satu golongan Quraisy yang tidak masuk kota Mekah dan mereka inilah dipanggil al-Zuwahir (pinggiran). Mereka masih mengamalkan cara hisup Badwi tetapi mereka berperanan menjaga keselamatan kota Mekah.

Orang-orang Quraisy telah menyusun pentadbiran kota Mekah dengan sistematik bagi menjaga kepentingan penduduk dan pengunjungnya. Para pengunjung dikehendaki membayar cukai perlindungan yang disebut "Muhajarah" atau "Harim". Beberapa jabatan juga telah diwujudkan seperti Hijabah, Rifadah, Siqayah, Sirafah dan lain-lain. Dengan ini, suasana aman dan kerjasama dapat diwujudkan di Mekah.

Mereka juga telah menubuhkan sebuah badan tertinggi yang dikenali sebagai Mala' (Majlis Ketua-ketua Suku) yang akhirnya telah dikuasai oleh ketua-ketua suku yang berpengaruh sahaja. Oleh itu, golongan yang kurang berpengaruh telah menubuhkan satu lagi badan yang dikenali sebagai Half-al-Fudhul. Ia berfungsi untuk mengimbangi pertubuhan Mala' di samping untuk menjaga kepentingan suku-suku yang lemah.

Satu fakta yang nyata bahawa masyarakat Arab Quraisy mengenal dan mengamalkan sistem kelas suku dan kabilah. Kelas tertinggi dipegang oleh golongan aristokrat dari keturunan Quraisy.

Golongan Quraisy merupakan kelas pemerintah bukan disebabkan oleh keturunan tetapi oleh kekayaan. Sebagai satu sistem sosial feudalisme, terdapat kelas hamba yang besar bilangannya dan mereka tidak mempunyai apa-apa hak, walaupun ke atas diri mereka sendiri hingga mereka boleh dijual beli.

Kedudukan wanita pada umumnya nilai mereka sangat rendah.

Di dalam pembentukan keluarga, terdapat empat cara perkahwinan yang diamalkan. Di dalam kehidupan keluarga, yang menjadi ketua ialah lelaki.

Orang-orang Quraisy mengamalkan nilai-nilai negatif. Mereka juga mengamalkan nilai-nilai positif seperti memuliakan tetamu, setia pada janji dan sebagainya.

Ekonomi Masyarakat Quraisy

Kebanyakan mereka adalah kaum peniaga dan pedagang sama ada secara berkafilah, tahunan atau bermusim.

Quraisy adalah bangsa yang berada dan mereka menguasai ekonomi kota Mekah.

Sistem ekonomi mereka melibatkan amalan riba dan mereka mengamalkan sistem tukar barang.

Jahiliah Era

MASYARAKAT JAHILIAH

Pengertian Jahiliah
Jahiliah berasal dari perkataan "jahil" yang bermaksud bodoh. Menurut Philip K. Hitti dalam bukunya "History of the Arab's", jahiliah bermaksud bodoh atau jahil dari segi agama kerana pada ketika itu, tidak ada nadi dan tidak ada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai petunjuk. Mereka tidak boleh dianggap jahil atau bodoh dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka telah mempunyai tamadun yang tinggi.

Al-Quran tidak memberi batas tertentu bagi zaman jahiliah. Kamus Bahasa Arab menyebutkan zaman jahiliah sebagai zaman sebelum Islam, iaitu sebelum turunya al-Quran. Ciri-ciri jahiliah berdasarkan al-Quran adalah seperti berikut:

a.Tidak mempunyai nabi atau kitab suci sebagai petunjuk.

b.Tidak mempunyai tamadun / peradaban.

c.Masyarakat tidak berakhlak, angkuh dan bongkah.

d.Masyarakat jahil dan mereka tidak tahu membaca atau menulis.

Jika salah satu dari tersebut terdapat pada sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu boleh dianggap sebagai masyarakat jahiliah.

Menurut Doktor Mahyuddin, zaman jahiliah ialah kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Sabak.

Agama dan Kepercayaan

Agama Berhala

Agama berhala merupakan agama yang mempunyai pengikut terbesar di Semenanjung Tanah Arab. Berhala tersebut diperbuat daripada batu, kayu dan kadang-kala dari buah tamal (kurma). Tiap-tiap kabilah mempunyai patung berhala masing-masing. Antara berhala yang terkenal termasuklah al-Latta, al-Uzza, al-Manat dan al-Hubal. Sebahagian penduduk Tanah Arab tidak menganggap berhala Tuhan tetapi hanya sebagai perantaraan. Kepercayaan mereka bercampur-aduk antara percaya kepada Allah dan percaya berhala. Mereka ini dikenali sebagai golongan musyirikin, iaitu orang yang menyekutu Allah.

Agama Majusi

Agama ini tidak diamalkan seluas oleh orang-orang Arab Jahiliah. Ia dibawa masuk selepas Parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir abad ke-6 Masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek ketuhanan mereka. Di antara penganut agama ini yang terkenal ialah Zararah dan anaknya Hajib. Mereka berasal dari Bani Tamin yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Parsi. Agama ini terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah.

Agama Yahudi

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. berpandukan kepada kitab taurat. Agama ini tersebar luas terutamanya di kawasan-kawasan Osis di Barat Laut Semenanjung Tanah Arab, iaitu Tai'ma Khaiba, Padak dan Yathrib. Orang-orang Yahudi berasal dari Palestine. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Arab sejak abad pertama Masihi. Mereka telah menjadi kaya-raya dan berjaya menarik perhatian orang-orang Arab untuk menganut agama Yahudi. Orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan dan mereka menganggap al-Uzarr sebagai anak tuhan. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

Agama Nasrani

Agama Nasrani adalah agama yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. pada tahun 1 Masihi. Ia dibawa ke Semenanjung Tanah Arab oleh golongan pendakwah, pedagang-pedagang atau paksaan oleh tentera Rom atau Habsyah atas tanah jajahan mereka. Agama ini dapat sambutan dari penduduk Mekah dan Yathrib. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini termasuklah Warraqah Bin Naufal dan Uthman Bin Huwairith. Agama ini mempunyai 2 mazhab iaitu Mazhab Nestorian yang berkembang di kawasan Hirah dan Mazhab Jacobite yang dianuti oleh penduduk Ghassan dan kabilah-kabilah lain di sempadan Syria / Syam. Pusat agama Kristian yang utama di Semenanjung Tanah Arab ialah Najran. Bandar Najran terus menjadi bandar Nasrani hingga ke zaman Khalifah Umar. Malah terdapat pusat latihan paderi Nasrani di Wadi al-Qura, iaitu kawasan pedalaman Timur Hijaz.

Agama Hanif

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Penganut agama ini mempercayai konsep keesaan Allah ataupun monoteisme. Di antara mereka yang menganut agama ini termasuklah Zaid b'Amr, Umaiyah Bin Abi Salt, juga kedua-dua ibu bapa nabi sendiri. Walau bagaimanapun, agama ini telah diselewengkan oleh golongan-golongan tertentu seperti juga agama Yahudi dan Nasrani, misalnya mereka menyembelih binatang korban dan darahnya dipercikkan di sekeliling kaabah.

Kepercayaan Animisme

Kepercayaan ini wujud bersama dengan kewujudan manusia. Ia berpunca dari sifat kagum manusia terhadap sesuatu objek yang ditemuinya. Mereka percaya wujudnya satu kuasa yang boleh menolong atau memberi mudarat kepada mereka. Oleh itu, mereka menyembah apa sahaja yang dianggap ganjil termasuklah bulan, matahari, pokok, batu, gua dan sebagainya.

Kepercayaan Adat (Sunah)

Kepercayaan adat dianggap sebagai unsur-unsur karut dan tahyul. Antara kepercayaan yang diamalkan ialah menilik nasib. Apabila memulakan sesuatu kerja baru, mereka akan melihat keadaan sekeliling bagi mengjangka nasib. Biasanya, mereka akan melihat arah burung terbang. Jika burung terbang ke kiri bermaksud tidak selamat dan sebaliknya.

Politik

Sistem politik Arab Jahiliah tidak seragam. Ia dipengaruhi oleh faktor perbezaan daerah, keturunan yang memerintah atau kuasa asing yang menjajah. Di bahagian Utara Semenanjung Tanah Arab, sistem politiknya lebih berbentuk negara naungan, misalnya Kerajaan Anbat, Tadmur, Hirah dan Ghassan. Kerajaan Ghassan adalah naungan Rom manakala Hirah adalah naungan Parsi. Kerajaan Anbat dan Tadmur pula pernah dijajah oleh Rom. Oleh itu, sistem politik mereka telah terpengaruh oleh sistem politik sama ada Rom atau Parsi.

Kerajaan di bahagian Selatan seperti Himyar, Ma'in dan Qatban mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Pemerintahanya menggunakan pelbagai gelaran seperti Malek, Zu, Makrab dan sebagainya.

Kerajaan di bahagian tengah pula terdiri daripada kerajaan kota, misalnya Kerajaan Kota Mekah, Yathrib dan Taif yang terletak di Hijaz. Sistem pemerintahannya dipegang oleh keluarga / keturunan tertentu, misalnya kota Mekah pada mulanya dikuasai oleh puak Jurham, diikuti ileh puak Khuzaah dan akhirnya ke tangan Quraisy. Taif pula diperintah oleh Bani Thaqif. Pemerintahan begini dikatakan berbentuk aristokrasi. Mereka tidak mempunyai institusi diraja, tidak ada pasukan tentera dan tidak mengamalkan dasar perluasan wilayah.

Di pihak lain, orang-orang Arab juga mengamalkan sistem politik berkabilah. Sistem ini adalah berbentuk primitif di mana peraturan yang diwujudkan hanyalah untuk kabilah mereka sendiri. Ketua kabilah, iaitu Sheikh adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kabilah. Segala peraturan perlu dipatuhi, jika tidak mereka boleh disingkirkan dari kabilah tersebut dan mereka perlu memasuki kabilah yang lain.

Ekonomi

Sistem ekonomi orang-orang Hadari lebih maju berbanding dengan orang Badwi. Mereka kebanyakannya ialah pedagang yang bergerak dalam kafilah. Sesebuah kafilah biasanya mengandungi 500-1,000 ekor unta. Sistem perdagangan yang biasa diadakan ialah sistem perdagangan dua musim, iaitu musim panas dan musim sejuk. Pada musim panas, mereka bergerak ke Utara, iaitu Syam dan pada musim sejuk, mereka bergerak ke Selatan iaitu Yaman. Di samping itu, mereka akan berkumpul di tengah Semenanjung Tanah Arab khususnya pada musim Haji kerana terdapat 3 buah pasar iaitu Ukaz, Zulmajaz dan Zulmajinman.

Orang-orang Arab Jahiliah juga melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan antarabangsa. Mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan orang-orang India, China dan Nusantara.

Kegiatan perdagangan orang Arab melibatkan riba. Mereka juga sering melakukan penipuan terutamanya dari segi sukatan dan timbangan.

Sistem barter masih diamalkan secara meluas terutamanya oleh golongan Badwi.

Selain dari kegiatan perdagangan, mereka juga melibatkan diri dalam kegiatan pertanian dan kawasan pertanian yang paling subur ialah bahagian Selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu Yaman. Yaman sememangnya mempunyai tanah yang subur di samping mendapat hujan tahunan yang agak seragam. Tambahan pula, penduduk Yaman mempunyai kepakaran dari segi teknologi sehingga membolehkan mereka mewujudkan sistem saliran untuk kawasan pertanian.

Orang-orang Arab Jahiliah juga menternak binatang seperti unta, kuda, biri-biri, keldai dan lain-lain lagi. Dari binatang ini, mereka memperolehi susu, daging dan kulit yang boleh dijadikan pakaian atau khemah. Sekiranya terdesak, mereka makan apa sahaja. Ada kalanya, mereka merampas atau menyerang suku-suku kaum yang mereka musuhi. Hal ini menyebabkan peperangan yang tidak berkesudahan.

Sosial

Orang-orang Arab Jahiliah boleh dibahagikan kepada dua golongan, iaitu orang-orang Arab Badwi dan Hadari. Arab Badwi ialah orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka tidak banyak bercampur dengan masyarakat luar. Oleh itu, ciri-ciri asli budaya Arab masih kekal pada mereka. Mereka sering berpindah untuk mencari padang rumput / kawasan yang mempunyai air. Ia juga bertujuan untuk menjaga keselamatan diri. Orang-orang Hadari pula menetap di bandar-bandar tertentu dan cara hidup mereka lebih maju serta mempunyai fikiran yang matang. Hal ini disebabkan mereka banyak terdedah kepada dunia luar khususnya melalui perdagangan.

Mereka mengamalkan cara hidup berkabilah. Kabilah adalah satu kelompok besar yang wujud berdasarkan keturunan, kepercayaan, adat tradisi, agama dan nilai-nilai kemasyarakatan yang sama. Setiap kabilah akan diketuai oleh seorang Sheikh. Dia berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah lain, melayan tetamu, memberi perlindungan kepada anggota kabilah dan lain-lain.

Mereka mengamalkan semangat abasiyah. Oleh sebab mereka hidup secara berkabilah, mereka mempunyai semangat asabiyah yang sangat kuat. Semangat ini menyebabkan berlakunya peperangan yang berpanjangan di antara satu kabilah dengan kabilah yang lain. Mereka akan segera bertindak sekiranya terdapat anggota kabilah yang dizalimi.

Mereka juga mengamalkan sistem perhambaan. Oleh itu, di dalam sistem sosial mereka, terdapat golongan hamba dan merdeka. Golongan hamba langsung tidak diberi hak untuk hidup bebas atau memiliki harta. Seseorang itu boleh menjadi hamba melalui beberapa cara sama ada sebagai tawanan perang, melalui jual beli atau kerana keturunan.

Kedudukan wanita di dalam masyarakat Arab Jahiliah sangat rendah / hina. Mereka malu sekiranya mendapat anak perempuan. Hal ini jelas disebutkan dalam al-Quran, al-Nahl dan Surah. Kedudukan wanita yang dipandang rendah menyebabkan timbulnya amalan membunuh anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan. Sesetengahnya ditanam hidup-hidup.

Orang-orang Arab Jahiliah mengamalkan empat cara perkahwinan, iaitu perkahwinan biasa, kahwin mencari anak pintar, mewarisi isteri bapa atau wanita menentukan siapa bapa kepada anaknya.

Mereka menyamalkan nilai-nilai baik dan buruk dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai baik yang mereka miliki ialah menghormati tetamu, pemurah, setia pada janji, berani, sabar, serta memberi penghargaan terutamanya kepada golongan penyair. Nilai-nilai buruk yang agak ketara ialah suka berperang, pendendam, minum arak, berjudi, berzina, merompak, mengamalkan semangat asabiyah dan lain-lain.

Ilmu Pengetahuan

Penyebaran ilmu pengetahuan berlaku di kawasan pinggir iaitu Selatan dan Barat Semenanjung Tanah Arab kerana adanya hubungan perdagangan dengan dunia luar. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak dipraktis dengan sepenuhnya. Ilmu pengetahuan tidak diwarisi kepada generasi baru juga. Hal ini menyebabkan orang Arab tidak berupaya membina semula Empangan Maarib yang telah runtuh. Dikatakan hampir semua orang Arab buta huruf. Buktinya menurut al-Baladhuri, hanya 17 orang kaum Quraysi yang tahu membaca dan menulis sahaja.

Dalam kesusasteraan, orang Arab pandai bersyair, bersajak dan berkhutbah. Tokoh seperti ini ialah Imru al-Qais, Zuhair dan Tarafah. Mereka dikatakan telah menghasilkan karya-karya bermutu yang disebut "al-Mu'allaqat-al-Sab" yang pernah digantung di Kaabah. Syair-syair akan dikemukakan di pasar Ukadz setiap tahun semasa temasya tahunan. Karya-karya ini kebanyakannya berbentuk sajak cinta, ratapan, pujaan, sindir-cerca yang bertujuan berseronok. Kebanyakan hasil ini dihasilkan secara kreatif atau pengalaman atau khayalan. Semua karya ini dikatakan mengandungi kata-kata yang tidak sopan.

Manusia dan Agama




KONSEP MANUSIA MENURUT AL-QURAN

Pengenalan
Perkataan manusia dalam Bahasa Melayu adalah menyamai istilah yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu al-Ins, al-Insan, al-Nas dan al-Basyar. Nama-nama ini adalah merujuk kepada manusia yang telah diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, manusia adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di darat, di laut atau di udara. Sejak abad ke-4 M, orang-orang Barat begitu terpengaruh dengan teori evolusi yang menyebutkan bahawa manusia berasal daripada beruk. Teori ini mula diperkenalkan oleh beberapa orang ahli falsafah Greek termasuklah Aristotle, Anazimander dan Epidocles. Namun demikian, teori ini dipertikaikan oleh saujana sains Islam dan juga Barat. Mereka menganggap ia bukanlah suatu kajian yang bersifat fakta sebaliknya merupakan satu ideologi sahaja.

Manusia Menurut al-Quran
Manusia menurut al-Quran adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh, dan jasad. Ia adalah sebaik-baik kejadian berbanding dengan malaikat dan binatang. Malaikat hanyalah dikurniakan akal tetapi tidak dikurniakan nafsu sedangkan binatang hanya dikurniakan nafsu tanpa akal. Sungguhpun begitu kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah daripada binatang jika mereka gagal menggunakan akal dengan baik sebaliknya menjadi hamba kepada nafsu. Menurut al-Quran, semua manusia adalah berasal dari keturunan Nabi Adam dan Adam pula dijadikan daripada tanah. Oleh itu, kaedah mantik atau logik manusia juga berasal daripada tanah. Kebanyakan ulama tafsir berpendapat proses pembentukan bayi dalam kandungan juga bermula dari saripati tanah atau disebut sebagai nutfah di dalam al-Quran. Pendapat ini ternyata benar kerana semua sumber makanan dan minuman adalah berpunca daripada tanah. Berdasarkan kenyataan ini, jelaslah menunjukkan bahawa konsep manusia menurut Islam adalah berbeza dengan pandangan yang pernah dikemukakan oleh para pengkaji antropologi.

Fungsi Manusia Menurut al-Quran
Beribadat kepada Allah
Menurut al-Quran, manusia berfungsi dan berperanan tersendiri. Fungsi utama manusia dicipta ialah untuk beribadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang perlu dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk fardu ain atau fardu kifayah. Ibadat fardu ain ialah ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang menepati syarat-syarat yang telah ditentukan, contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ibadat fardu kifayah pula ialah ibadat yang jika dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu dan kumpulan yang lain tidak wajib lagi melakukannya, contohnya melakukan sembahyang jenazah, berniaga, mengajar dan sebagainya.

Memelihara Alam
Selain itu, manusia juga berperanan untuk memelihara alam ini dengan sebaik-baiknya. Allah telah mencipta alam ini untuk kepentingan manusia seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia. Sungguhpun begitu, manusia perlu menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah dengan menggunakan ciptaan tersebut hanya untuk perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan sahaja. Mereka tidat boleh melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga membawa keburukan kepada manusia atau makhluk lain termasuklah binatang.

Mengenali di Antara Satu Sama Lain
Manusia juga perlu berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Allah mencipta manusia dengan pelbagai puak supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain. Mereka tidak boleh berbangga diri, sombong dan takbur.

Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah. Perbezaan agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan. Islam hanya membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka dengan jelas menunjukkan penentangan atau cuba membahayakan orang-orang Islam. Dalam keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka.

Memakmurkan Muka Bumi
Selain dari memelihara alam ini manusia juga berfungsi untuk memakmurkan muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Akal dan pancaidera yang dianugerahkan kepada manusia hendaklah digunakan untuk meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada.

Banyak rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan menggunakan akal yang ada. Di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan misalnya terdapat pelbagai jenis penawar, di dasar lautan juga terdapat pelbagai khazanah, begitu juga di dalam perut bumi. Hanya manusia yang menggunakan akal dengan sepenuhnya akan dapat menikmati semua ini. Selain untuk dirinya ia juga dapat memberi faedah kepada orang lain.

Mentauhidkan Allah
Manusia yang perlu mentauhidkan Allah, dalam konteks ini manusia ditegah sekeras-kerasnya melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlu mengenali Allah. Manusia boleh mengenali Allah melalui sifat-sifat-Nya. Terdapat 20 sifat yang wajib diketahui oleh manusia.

Mentadbir / Menjadi Khalifah di Muka Bumi
Fungsi manusia yang seterusnya ialah mentadbir atau menjadi khalifah di muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada terhadap dirinya sendiri atau orang lain.

Manusia hendaklah memastikan tidak berlaku kemungkaran di muka bumi sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya kebaikan. Hal ini sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar Makruf dan Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Sekiranya manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya maka mereka akan dapat menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan. Jika sebaliknya yang berlaku maka kemusnahan dan huru-hara pasti tidak dapat dielakkan.