Friday 2 October 2009

Jahiliah Era

MASYARAKAT JAHILIAH

Pengertian Jahiliah
Jahiliah berasal dari perkataan "jahil" yang bermaksud bodoh. Menurut Philip K. Hitti dalam bukunya "History of the Arab's", jahiliah bermaksud bodoh atau jahil dari segi agama kerana pada ketika itu, tidak ada nadi dan tidak ada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai petunjuk. Mereka tidak boleh dianggap jahil atau bodoh dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka telah mempunyai tamadun yang tinggi.

Al-Quran tidak memberi batas tertentu bagi zaman jahiliah. Kamus Bahasa Arab menyebutkan zaman jahiliah sebagai zaman sebelum Islam, iaitu sebelum turunya al-Quran. Ciri-ciri jahiliah berdasarkan al-Quran adalah seperti berikut:

a.Tidak mempunyai nabi atau kitab suci sebagai petunjuk.

b.Tidak mempunyai tamadun / peradaban.

c.Masyarakat tidak berakhlak, angkuh dan bongkah.

d.Masyarakat jahil dan mereka tidak tahu membaca atau menulis.

Jika salah satu dari tersebut terdapat pada sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu boleh dianggap sebagai masyarakat jahiliah.

Menurut Doktor Mahyuddin, zaman jahiliah ialah kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Sabak.

Agama dan Kepercayaan

Agama Berhala

Agama berhala merupakan agama yang mempunyai pengikut terbesar di Semenanjung Tanah Arab. Berhala tersebut diperbuat daripada batu, kayu dan kadang-kala dari buah tamal (kurma). Tiap-tiap kabilah mempunyai patung berhala masing-masing. Antara berhala yang terkenal termasuklah al-Latta, al-Uzza, al-Manat dan al-Hubal. Sebahagian penduduk Tanah Arab tidak menganggap berhala Tuhan tetapi hanya sebagai perantaraan. Kepercayaan mereka bercampur-aduk antara percaya kepada Allah dan percaya berhala. Mereka ini dikenali sebagai golongan musyirikin, iaitu orang yang menyekutu Allah.

Agama Majusi

Agama ini tidak diamalkan seluas oleh orang-orang Arab Jahiliah. Ia dibawa masuk selepas Parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir abad ke-6 Masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek ketuhanan mereka. Di antara penganut agama ini yang terkenal ialah Zararah dan anaknya Hajib. Mereka berasal dari Bani Tamin yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Parsi. Agama ini terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah.

Agama Yahudi

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. berpandukan kepada kitab taurat. Agama ini tersebar luas terutamanya di kawasan-kawasan Osis di Barat Laut Semenanjung Tanah Arab, iaitu Tai'ma Khaiba, Padak dan Yathrib. Orang-orang Yahudi berasal dari Palestine. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Arab sejak abad pertama Masihi. Mereka telah menjadi kaya-raya dan berjaya menarik perhatian orang-orang Arab untuk menganut agama Yahudi. Orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan dan mereka menganggap al-Uzarr sebagai anak tuhan. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

Agama Nasrani

Agama Nasrani adalah agama yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. pada tahun 1 Masihi. Ia dibawa ke Semenanjung Tanah Arab oleh golongan pendakwah, pedagang-pedagang atau paksaan oleh tentera Rom atau Habsyah atas tanah jajahan mereka. Agama ini dapat sambutan dari penduduk Mekah dan Yathrib. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini termasuklah Warraqah Bin Naufal dan Uthman Bin Huwairith. Agama ini mempunyai 2 mazhab iaitu Mazhab Nestorian yang berkembang di kawasan Hirah dan Mazhab Jacobite yang dianuti oleh penduduk Ghassan dan kabilah-kabilah lain di sempadan Syria / Syam. Pusat agama Kristian yang utama di Semenanjung Tanah Arab ialah Najran. Bandar Najran terus menjadi bandar Nasrani hingga ke zaman Khalifah Umar. Malah terdapat pusat latihan paderi Nasrani di Wadi al-Qura, iaitu kawasan pedalaman Timur Hijaz.

Agama Hanif

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Penganut agama ini mempercayai konsep keesaan Allah ataupun monoteisme. Di antara mereka yang menganut agama ini termasuklah Zaid b'Amr, Umaiyah Bin Abi Salt, juga kedua-dua ibu bapa nabi sendiri. Walau bagaimanapun, agama ini telah diselewengkan oleh golongan-golongan tertentu seperti juga agama Yahudi dan Nasrani, misalnya mereka menyembelih binatang korban dan darahnya dipercikkan di sekeliling kaabah.

Kepercayaan Animisme

Kepercayaan ini wujud bersama dengan kewujudan manusia. Ia berpunca dari sifat kagum manusia terhadap sesuatu objek yang ditemuinya. Mereka percaya wujudnya satu kuasa yang boleh menolong atau memberi mudarat kepada mereka. Oleh itu, mereka menyembah apa sahaja yang dianggap ganjil termasuklah bulan, matahari, pokok, batu, gua dan sebagainya.

Kepercayaan Adat (Sunah)

Kepercayaan adat dianggap sebagai unsur-unsur karut dan tahyul. Antara kepercayaan yang diamalkan ialah menilik nasib. Apabila memulakan sesuatu kerja baru, mereka akan melihat keadaan sekeliling bagi mengjangka nasib. Biasanya, mereka akan melihat arah burung terbang. Jika burung terbang ke kiri bermaksud tidak selamat dan sebaliknya.

Politik

Sistem politik Arab Jahiliah tidak seragam. Ia dipengaruhi oleh faktor perbezaan daerah, keturunan yang memerintah atau kuasa asing yang menjajah. Di bahagian Utara Semenanjung Tanah Arab, sistem politiknya lebih berbentuk negara naungan, misalnya Kerajaan Anbat, Tadmur, Hirah dan Ghassan. Kerajaan Ghassan adalah naungan Rom manakala Hirah adalah naungan Parsi. Kerajaan Anbat dan Tadmur pula pernah dijajah oleh Rom. Oleh itu, sistem politik mereka telah terpengaruh oleh sistem politik sama ada Rom atau Parsi.

Kerajaan di bahagian Selatan seperti Himyar, Ma'in dan Qatban mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Pemerintahanya menggunakan pelbagai gelaran seperti Malek, Zu, Makrab dan sebagainya.

Kerajaan di bahagian tengah pula terdiri daripada kerajaan kota, misalnya Kerajaan Kota Mekah, Yathrib dan Taif yang terletak di Hijaz. Sistem pemerintahannya dipegang oleh keluarga / keturunan tertentu, misalnya kota Mekah pada mulanya dikuasai oleh puak Jurham, diikuti ileh puak Khuzaah dan akhirnya ke tangan Quraisy. Taif pula diperintah oleh Bani Thaqif. Pemerintahan begini dikatakan berbentuk aristokrasi. Mereka tidak mempunyai institusi diraja, tidak ada pasukan tentera dan tidak mengamalkan dasar perluasan wilayah.

Di pihak lain, orang-orang Arab juga mengamalkan sistem politik berkabilah. Sistem ini adalah berbentuk primitif di mana peraturan yang diwujudkan hanyalah untuk kabilah mereka sendiri. Ketua kabilah, iaitu Sheikh adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kabilah. Segala peraturan perlu dipatuhi, jika tidak mereka boleh disingkirkan dari kabilah tersebut dan mereka perlu memasuki kabilah yang lain.

Ekonomi

Sistem ekonomi orang-orang Hadari lebih maju berbanding dengan orang Badwi. Mereka kebanyakannya ialah pedagang yang bergerak dalam kafilah. Sesebuah kafilah biasanya mengandungi 500-1,000 ekor unta. Sistem perdagangan yang biasa diadakan ialah sistem perdagangan dua musim, iaitu musim panas dan musim sejuk. Pada musim panas, mereka bergerak ke Utara, iaitu Syam dan pada musim sejuk, mereka bergerak ke Selatan iaitu Yaman. Di samping itu, mereka akan berkumpul di tengah Semenanjung Tanah Arab khususnya pada musim Haji kerana terdapat 3 buah pasar iaitu Ukaz, Zulmajaz dan Zulmajinman.

Orang-orang Arab Jahiliah juga melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan antarabangsa. Mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan orang-orang India, China dan Nusantara.

Kegiatan perdagangan orang Arab melibatkan riba. Mereka juga sering melakukan penipuan terutamanya dari segi sukatan dan timbangan.

Sistem barter masih diamalkan secara meluas terutamanya oleh golongan Badwi.

Selain dari kegiatan perdagangan, mereka juga melibatkan diri dalam kegiatan pertanian dan kawasan pertanian yang paling subur ialah bahagian Selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu Yaman. Yaman sememangnya mempunyai tanah yang subur di samping mendapat hujan tahunan yang agak seragam. Tambahan pula, penduduk Yaman mempunyai kepakaran dari segi teknologi sehingga membolehkan mereka mewujudkan sistem saliran untuk kawasan pertanian.

Orang-orang Arab Jahiliah juga menternak binatang seperti unta, kuda, biri-biri, keldai dan lain-lain lagi. Dari binatang ini, mereka memperolehi susu, daging dan kulit yang boleh dijadikan pakaian atau khemah. Sekiranya terdesak, mereka makan apa sahaja. Ada kalanya, mereka merampas atau menyerang suku-suku kaum yang mereka musuhi. Hal ini menyebabkan peperangan yang tidak berkesudahan.

Sosial

Orang-orang Arab Jahiliah boleh dibahagikan kepada dua golongan, iaitu orang-orang Arab Badwi dan Hadari. Arab Badwi ialah orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka tidak banyak bercampur dengan masyarakat luar. Oleh itu, ciri-ciri asli budaya Arab masih kekal pada mereka. Mereka sering berpindah untuk mencari padang rumput / kawasan yang mempunyai air. Ia juga bertujuan untuk menjaga keselamatan diri. Orang-orang Hadari pula menetap di bandar-bandar tertentu dan cara hidup mereka lebih maju serta mempunyai fikiran yang matang. Hal ini disebabkan mereka banyak terdedah kepada dunia luar khususnya melalui perdagangan.

Mereka mengamalkan cara hidup berkabilah. Kabilah adalah satu kelompok besar yang wujud berdasarkan keturunan, kepercayaan, adat tradisi, agama dan nilai-nilai kemasyarakatan yang sama. Setiap kabilah akan diketuai oleh seorang Sheikh. Dia berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah lain, melayan tetamu, memberi perlindungan kepada anggota kabilah dan lain-lain.

Mereka mengamalkan semangat abasiyah. Oleh sebab mereka hidup secara berkabilah, mereka mempunyai semangat asabiyah yang sangat kuat. Semangat ini menyebabkan berlakunya peperangan yang berpanjangan di antara satu kabilah dengan kabilah yang lain. Mereka akan segera bertindak sekiranya terdapat anggota kabilah yang dizalimi.

Mereka juga mengamalkan sistem perhambaan. Oleh itu, di dalam sistem sosial mereka, terdapat golongan hamba dan merdeka. Golongan hamba langsung tidak diberi hak untuk hidup bebas atau memiliki harta. Seseorang itu boleh menjadi hamba melalui beberapa cara sama ada sebagai tawanan perang, melalui jual beli atau kerana keturunan.

Kedudukan wanita di dalam masyarakat Arab Jahiliah sangat rendah / hina. Mereka malu sekiranya mendapat anak perempuan. Hal ini jelas disebutkan dalam al-Quran, al-Nahl dan Surah. Kedudukan wanita yang dipandang rendah menyebabkan timbulnya amalan membunuh anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan. Sesetengahnya ditanam hidup-hidup.

Orang-orang Arab Jahiliah mengamalkan empat cara perkahwinan, iaitu perkahwinan biasa, kahwin mencari anak pintar, mewarisi isteri bapa atau wanita menentukan siapa bapa kepada anaknya.

Mereka menyamalkan nilai-nilai baik dan buruk dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai baik yang mereka miliki ialah menghormati tetamu, pemurah, setia pada janji, berani, sabar, serta memberi penghargaan terutamanya kepada golongan penyair. Nilai-nilai buruk yang agak ketara ialah suka berperang, pendendam, minum arak, berjudi, berzina, merompak, mengamalkan semangat asabiyah dan lain-lain.

Ilmu Pengetahuan

Penyebaran ilmu pengetahuan berlaku di kawasan pinggir iaitu Selatan dan Barat Semenanjung Tanah Arab kerana adanya hubungan perdagangan dengan dunia luar. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak dipraktis dengan sepenuhnya. Ilmu pengetahuan tidak diwarisi kepada generasi baru juga. Hal ini menyebabkan orang Arab tidak berupaya membina semula Empangan Maarib yang telah runtuh. Dikatakan hampir semua orang Arab buta huruf. Buktinya menurut al-Baladhuri, hanya 17 orang kaum Quraysi yang tahu membaca dan menulis sahaja.

Dalam kesusasteraan, orang Arab pandai bersyair, bersajak dan berkhutbah. Tokoh seperti ini ialah Imru al-Qais, Zuhair dan Tarafah. Mereka dikatakan telah menghasilkan karya-karya bermutu yang disebut "al-Mu'allaqat-al-Sab" yang pernah digantung di Kaabah. Syair-syair akan dikemukakan di pasar Ukadz setiap tahun semasa temasya tahunan. Karya-karya ini kebanyakannya berbentuk sajak cinta, ratapan, pujaan, sindir-cerca yang bertujuan berseronok. Kebanyakan hasil ini dihasilkan secara kreatif atau pengalaman atau khayalan. Semua karya ini dikatakan mengandungi kata-kata yang tidak sopan.

No comments:

Post a Comment