Friday 2 October 2009


SERUAN ISLAM DI MEKAH

Pengenalan
Segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah dari wahyu Allah yang diturunkan kepada baginda melalui malaikat Jibril. Ia diturunkan secara beransur-ansur dalam jangka masa 23 tahun bermula dari wahyu yang pertama di Gua Hira sehinggalah baginda wafat. Segala wahyu ini telah ditulis dan dihafal oleh umat Islam. Penurunan ayat terbahagi kepada dua, iaitu:
a.
Zaman Makkiyah
Zaman semasa baginda di Mekah sehinggalah berhijrah ke Madinah. Ia memakan masa selama 13 tahun.
b.
Zaman Madinah
Zaman selepas baginda berhijrah ke Madinah. Ia berlangsung selama 10 tahun.

Peringkat Seruan

Peringkat Sirriah (tersembunyi)
Seruan peringkat ini bermula setelah Nabi Muhammad menerima wahyu kedua iaitu dari Surah al-Muddatthir ayat 1-7. Penurunan ayat ini dianggap telah merasmikan perlantikan Nabi daripada seorang "Nabi" kepada seorang "Rasul". Baginda menjalankan dakwahnya secara sulit dan bersembunyi kepada keluarga dan sahabatnya yang terdekat. Mereka ialah Khadijah al-Kubra, Ali Bin Abu Talib, Zaid Bin Harithah dan Abu Bakar as-Siddiq. Melalui Abu Bakar, Islam disebar kepada Abdul Rahman Bin Auf, Uthman bin Affan, Talhah Bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam, Abu Ubaidah al-Jarrah, Amman Bin Yasser dan sebagainya. Mereka digelar sebagai as-Sabiqun al-Awwalun (orang yang terawal memeluk Islam). Seruan ini dijalankan selama 3 tahun dan seramai 55 orang penduduk Mekah memeluk Islam. Arqam Abil al-Arqam telah menyerahkan rumahnya sebagai markas gerakan umat Islam.

Peringkat Jahriah (terbuka)
Seruan kepada Ali Bin Abu Talib dan keluarganya. Seruan ini bermula setalah baginda menerim awahyu dari Surah Asy-Syu'ara'. Baginda mengadakan majlis ceramah di rumah Ali Bin Abu Talib di Bukit Safa dan semua kerabat dijemput termasuk Abu Lahab, bapa saudaranya. Baginda menerangkan dasar-dasar Islam yang telah ditugaskan oleh Allah untuk baginda sampaikan. Ramai yang menyatakan kesanggupan untuk mengikut baginda, tidak kurang yang mencemuhnya. Abu Lahab ialah tokoh pertama yang menghina dan mencerca baginda.

Seruan kepada orang ramai dimulakan setelah baginda menerima wahyu dari Surah al-Hijr. Baginda mula menyeru kepada segenap lapisan masyarakat Mekah di mana-mana sahaja. Seruan secara terbuka ini berlangsung selama 10 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Bentuk Ajaran Islam

Akidah
Nabi memperkenalkan tauhid, iaitu mengesakan Allah dengan segala sifat kesempurnaan iaitu sifat-sifat 20. Sehubungan itu, segala bentuk syirik adalah dilarang termasuklah penyembahan berhala. Nabi menerangkan tentang adanya hari kebangkitan serta perkara-perkara yang berhubung denganya seperti syurga, neraka, titian, neraca dan lain-lain. Baginda turut menerangkan perkara yang berhubung dengan rukun Iman seperti percaya kepada Rasul, kitab-kitab serta percaya kepada Qadak dan Qadar. Seterusnya, Nabi menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab manusia sama ada terhadap tuhan, diri, keluarga dan masyarakat. Setiap individu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan sama ada baik atau buruk.

Akhlak
Selama 13 tahun, Nabi di Mekah telah berusaha membentuk peribadi muslim di samping berusaha mengikis sifat-sifat yang tercela seperti iri hati, takbur, dendam dan sebagainya. Sifat-sifat tersebut perlu diganti dengan sifat tinggi seperti jujur, ikhlas, amanah dan sebagainya. Nabi juga berusaha mengangkat darjat wanita ke tempat yang sewajarnya sama ada di dunia atau di akhirat. Nabi cuba banyak menekankan kepada cerita Nabi dan Rasul yang terdahulu khususnya tentang perjuangan nabi-nabi, balasan yang diterima oleh orang yang ingkar. Hampir 1/3 daripada kandungan al-Quran adalah mengenai sejarah nabi-nabi dan umat terdahulu.

Ibadat
Di Mekah, hanya satu sahaja iaitu ibadat khusus yang difardukan kepada umat Islam. Ibadat ini mula diwajib selepas berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ibadat ini ialah sembahyang 5 waktu sehari semalam.

Rumusan
Cara-cara penyebaran Islam yang dilakukan secara berperingkat jelas menggambarkan kebijaksanaan Nabi dalam soal berdakwah. Baginda mengukuhkan dahulu pengikut-pengikut Islam sebelum mencabar seluruh masyarakat Mekah. Ajaran-ajaran yang baginda bawakan jelas bertujuan untuk menyelamatkan manusia seluruhnya daripada kesesatan kehidupan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment