Friday 2 October 2009

Quraisy

QURAISY

Asal-usul Quraisy

Perkataan Quraisy berasal dari kata dasar "taqarrasya" yang bermaksud penyatuan. Hal ini disebabkan kejayaan Qusai bin Kilab menyatukan kaum Quraisy di Mekah. Qusai bin Kilab adalah datuk keempat Nabi Muhammad. Beliau adalah dari keturunan Kinanah yang berasal dari keturunan Nabi Allah Ismail.

Qusai bin Kilab telah berpindah bersama ibunya dan dibesarkan di Syam. Setelah dewasa, beliau kembali ke Mekah dan berkahwin dengan seorang gadis dari Bani Khuzaah yang memegang pemerintahan kota Mekah. Pada tahun 440 M, Qusai bin Kilab berjaya mengalahkan Bani Khuzaah dan mengambilalih pemerintahan Mekah. Daripada kalangan Quraisy, muncul ramai tokoh terkemuka seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muawiyah dan lain-lain. Di dalam kabilah Quraisy, terdapat beberapa bani yang terkenal seperti Bani Hasyim, Bani Umayyah, Bani Adi, Bani Taym dan sebagainya.

Struktur Sosial Quraisy

Struktur sosial Quraisy boleh dibahagi dua, iaitu Quraisy al-Bittah dan Quraisy al-Zuwahir. Istilah ini diperolehi semasa orang-orang Quraisy memasuki Mekah pada tahun 440 M. Mereka memasukinya melalui Lembah al-Bittah. Terdapat satu golongan Quraisy yang tidak masuk kota Mekah dan mereka inilah dipanggil al-Zuwahir (pinggiran). Mereka masih mengamalkan cara hisup Badwi tetapi mereka berperanan menjaga keselamatan kota Mekah.

Orang-orang Quraisy telah menyusun pentadbiran kota Mekah dengan sistematik bagi menjaga kepentingan penduduk dan pengunjungnya. Para pengunjung dikehendaki membayar cukai perlindungan yang disebut "Muhajarah" atau "Harim". Beberapa jabatan juga telah diwujudkan seperti Hijabah, Rifadah, Siqayah, Sirafah dan lain-lain. Dengan ini, suasana aman dan kerjasama dapat diwujudkan di Mekah.

Mereka juga telah menubuhkan sebuah badan tertinggi yang dikenali sebagai Mala' (Majlis Ketua-ketua Suku) yang akhirnya telah dikuasai oleh ketua-ketua suku yang berpengaruh sahaja. Oleh itu, golongan yang kurang berpengaruh telah menubuhkan satu lagi badan yang dikenali sebagai Half-al-Fudhul. Ia berfungsi untuk mengimbangi pertubuhan Mala' di samping untuk menjaga kepentingan suku-suku yang lemah.

Satu fakta yang nyata bahawa masyarakat Arab Quraisy mengenal dan mengamalkan sistem kelas suku dan kabilah. Kelas tertinggi dipegang oleh golongan aristokrat dari keturunan Quraisy.

Golongan Quraisy merupakan kelas pemerintah bukan disebabkan oleh keturunan tetapi oleh kekayaan. Sebagai satu sistem sosial feudalisme, terdapat kelas hamba yang besar bilangannya dan mereka tidak mempunyai apa-apa hak, walaupun ke atas diri mereka sendiri hingga mereka boleh dijual beli.

Kedudukan wanita pada umumnya nilai mereka sangat rendah.

Di dalam pembentukan keluarga, terdapat empat cara perkahwinan yang diamalkan. Di dalam kehidupan keluarga, yang menjadi ketua ialah lelaki.

Orang-orang Quraisy mengamalkan nilai-nilai negatif. Mereka juga mengamalkan nilai-nilai positif seperti memuliakan tetamu, setia pada janji dan sebagainya.

Ekonomi Masyarakat Quraisy

Kebanyakan mereka adalah kaum peniaga dan pedagang sama ada secara berkafilah, tahunan atau bermusim.

Quraisy adalah bangsa yang berada dan mereka menguasai ekonomi kota Mekah.

Sistem ekonomi mereka melibatkan amalan riba dan mereka mengamalkan sistem tukar barang.

No comments:

Post a Comment