Tuesday 14 July 2009

Jimat Tenaga





Seni bina istimewa jimatkan sumber tenaga

Oleh Azizul Azli Ahmad






Dari hasil beberapa kajian, ditemukan bahawa penggunaan tenaga pada bangunan dari tahun ke tahun dikatakan meningkat sekitar 5-19 peratus. Kenaikan yang paling drastik berlaku di Amerika Syarikat (AS), sebagai negara pengguna sumber tenaga terbesar di dunia. Penggunaan tenaga dikatakan hampir enam kali ganda daripada kebiasaan pada tahun 1970 hingga 1993 jika dibandingkan dengan masa sebelumnya.
Penggunaan tenaga dalam bangunan untuk tujuan pencahayaan, penyaman udara, lif dan sebagainya direkodkan hampir satu perempat daripada bekalan sumber tenaga dunia pada akhir tahun 1990-an. Lebih membimbangkan, hampir dua pertiganya didapati daripada bahan bakar, seperti minyak dan gas yang dijangkakan usia bahan mentah ini cuma akan bertahan tidak lebih daripada 100 tahun lagi.
Keadaan menjadi semakin buruk di negara-negara membangun, terutamanya di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ini disebabkan oleh faktor ekonomi yang sedang berkembang pesat akan mendorong mereka menggunakan bahan (produk) berteknologi tinggi secara besar-besaran tanpa perlu memikirkan risiko pengurusan sumber tenaga yang banyak berasal daripada minyak.Banyak kajian telah dilakukan di pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat kajian terutama di Eropah Barat terhadap penekanan penggunaan tenaga dalam bangunan.
Hasil-hasil kajian ini juga telah banyak diaplikasikan pada bangunan-bangunan baru, yang mana ia berhasil dalam penjimatan penggunaan tenaga daripada 15 hingga 60 peratus dalam bangunan-bangunan yang telah dibangunkan itu.
Bangunan Brundtland Center, Denmark yang dibina pada tahun 1994 dengan keluasan lantai 1,800 meter persegi hanya menggunakan 40 peratus daripada jumlah tenaga berbanding dengan bangunan-bangunan yang tidak dirancang menggunakan konsep penjimatan tenaga.
Sementara bangunan pemerintahan Inggeris di Wesminster yang menggunakan konsep ini juga mampu menjimatkan sumber tenaga dengan hanya menggunakan sumber tenaga sejumlah 40 peratus daripada kebiasaannya.
Pemikiran yang berkembang di negara-negara Barat itu nampaknya tidak sempat berkembang di bandar-bandar negara membangun seperti Bangkok, Jakarta, Manila, Singapura dan Kuala Lumpur.
Teknologi dan pola aktiviti moden yang ada di negara membangun sebahagian besar masih tetap merupakan `salinan' dari negara Barat pada masa sebelum krisis tenaga tahun 1973, yang cukup memungkinkan ia tidak relevan dengan keadaan semasa di Malaysia.
Banyak bangunan terutama pencakar langit yang terdapat di bandar-bandar Malaysia seperti di Kuala Lumpur, dirancang dan dibangunkan tanpa mempedulikan keadaan iklim setempat. Misalnya bangunan `dibalut' sebahagian atau sepenuhnya dengan menggunakan dinding kaca tanpa diberikan penghalang terhadap kemasukan radiasi cahaya matahari secara terus. Pengetahuan yang klasik tentang `kesan rumah kaca' tidak banyak diperhatikan.
Sekiranya konsep ini diterapkan pada bangunan beriklim Tropika dan Khatulistiwa seperti di Malaysia, hasilnya akan merugikan kita: ruang dalam bangunan akan menjadi panas.
Apabila bangunan dilengkapi dengan penghawa dingin, tenaga yang diperlukan untuk menyejukkan ruang tersebut akan menjadi lebih besar. `Kesan rumah kaca' ini akan menjadikan ruang meningkat panas serta memerlukan jumlah penghawa dingin dalam kuantiti yang besar.
Penelitian yang dilakukan oleh Dr. Ir. Tri Harso Karyono pada tahun 1993 terhadap beberapa bangunan yang menggunakan penghawa dingin di Jakarta menunjukkan bahawa, penggunaan tenaga elektrik pada bangunan yang mempunyai penghadang matahari mencapai 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding dengan bangunan yang tidak menggunakan penghadang matahari.
Daripada data ini menunjukkan bahawa penggunaan sumber tenaga elektrik akan meningkat pada bangunan yang menggunakan penghawa dingin tanpa menggunakan penghadang matahari. Cahaya yang diterima terus `kesan rumah hijau' menjadikan suhu meningkat dengan mendadak, penghawa dingin terpaksa ditingkatkan agar suhu di dalam bangunan menjadi stabil dan selesa kepada pengguna.
Para arkitek kita perlulah sedar dengan tidak hanya membuat `salinan' terhadap apa yang berlaku di Barat dan semuanya dianggap `kemajuan'. Dengan ini kita dapat mengelak daripada berlakunya kesalahan interpretasi dalam mencontohi negara Barat.Ini juga gagasan pemikiran modernis bahawa negara kita akan dianggap maju seandainya memiliki wajah yang `mirip' dengan apa yang berlaku di Barat, tentu akan lebih banyak salahnya. `Menciptakan' karya seni bina yang mirip secara visual dengan yang terdapat di negara lain dengan iklim yang lain, hanyalah satu pemaksaan. Kita perlu membayar dengan harga yang mahal dari sumber tenaga kita akibat kegagalan arkitek memahami serta kesalahan interpretasi dalam seni bina ini.






- Azizul Azli Ahmad, Program Pascasarjana Arkitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

No comments:

Post a Comment