Tuesday 14 July 2009

Menara Masjid
















Sejarah menara Masjid di Nusantara
Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Perkataan `menara' berasal daripada kata `nar' yang bermaksud `api'. Pada zaman dahulu, api dipasang pada menara tinggi untuk menandakan masuknya waktu sembahyang, iftar dan imsak serta sebagai pengumuman sesuatu perkara penting.Pemasangan api dapat berfungsi dengan baik. Ia dapat dilihat pada jarak yang berbatu-batu jauhnya.Menara atau `minaret' dalam bahasa Inggeris bermaksud sebuah struktur tinggi yang menjadi sebahagian dari masjid dan mempunyai fungsi khusus sebagai tempat muazin melaungkan azan.
Sejarah laungan azan telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda mengarahkan Bilal Ibnu Rabah memanjat bumbung masjid agar melaungkan azan.Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah sedang memikirkan tentang cara terbaik untuk memanggil kaum Muslimin untuk bersembahyang.Ada yang mencadangkan gendang dan loceng tetapi Baginda tidak menyukainya kerana ia meniru cara orang Kristian dan Yahudi.Pembangunan menara masjid tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.
Diperkirakan oleh sejarawan bahawa pembangunan menara masjid bermula sejak zaman Muawiyah ketika syiar Islam di negara-negara lain mula berkembang.Pembangunan masjid pada waktu itu juga merupakan sebagai simbol kegemilangan perkembangan Islam. Bangunan-bangunan yang terdapat pada kerajaan bukan Islam pada waktu itu telah memiliki menara untuk menempatkan loceng dan gendang.Masjid-masjid tradisi yang dibangunkan di Nusantara asalnya tidak memiliki menara. Faktor geografi menjadikan pembangunan menara kurang berfungsi dan tidak praktikal di lingkungan ini.Kedudukan lokasi, gunung-ganang, pohon-pohon yang rimbun dan kondisi iklim menjadi halangan kepada suara muazin untuk sampai pada tempat yang jauh.
Tidak menghairankan apabila masjid-masjid tradisi di Nusantara kebanyakannya tidak memiliki menara. Seringkali terdapat pembangunan masjid dan menara tidak dibangunkan pada waktu yang sama.Menara Masjid Agung Demak (1479M), masjid tertua di Nusantara misalnya dibangunkan pada waktu yang berbeza.Menara masjid tersebut dibangunkan pada zaman penjajahan Belanda tahun 1912. Menara Masjid Kampung Laut, Kelantan dan Masjid Kampung Hulu, Melaka memiliki keunikan tersendiri.Menara Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka memiliki gaya seperti Pagoda di China.
Di Indonesia masjid yang memiliki menara pada asal pembangunannya hanya Masjid Kudus, di Jawa Tengah.Masjid ini memiliki sejarahnya yang tersendiri. Ia dibangunkan sejak zaman sebelum kedatangan Islam. Proses Islamisasi telah merubah fungsi sebuah candi Hindu menjadi masjid, melahirkan gaya menara yang tersendiri.Keunikan sejarah ini juga menjadikan orientasi kiblat masjid ini tidak tepat ke arah kiblat.Masjid Agung Banten, Jawa Barat memiliki menara yang berfungsi sebagai rumah api bagi kawasan sekitarnya. Lokasi Banten yang terletak di persisiran pantai menjadikan menara masjid itu berfungsi sebagai rumah api, membantu pelayaran kapal dagangan.Reka bentuk menara masjid yang dibangunkan oleh orang Belanda tersebut masih memiliki pengaruh Belanda dan kesenian Indonesia.
Implikasi kefahaman tentang asal-usul menara terhadap reka bentuknya pada masa kini masih merupakan suatu simbol atau mesej penting tentang kewujudan sebuah masjid di sesuatu tempat.Walaupun fungsi menara hari ini bukan merupakan sebuah tempat untuk menyalakan api dan muazin melaungkan azan, ia masih menjadi simbol penting kepada bahasa seni bina dan sebagai petunjuk arah kepada musafir tentang kewujudan sesebuah masjid.-

AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung
Dicatat oleh Azizul Azli Ahmad di 04:57 0 ulasan
Label:

1 comment: