Friday 10 July 2009

Keindahan Islam




Keindahan Dalam Kesenian Islam

Menurut Anwar Talib[i] dalam kajian sarjana beliau tentang keindahan kesenian Islam beliau menggambarkan ‘bahawa keindahan’ adalah subjek yang sentral atau utama malah menjadi objektif kepada setiap pengkaryaan bahan seni. Ini adalah adalah berdasarkan kenyataan bahawa keindahan itu merupakan manifestasi daripada sifat-sifat Tuhan.

Keindahan Tuhan atau Al-Jamal merujuk kepada kebenaranNya atau Al-Haq dan kesempurnaan Nya atau Al-Kamal dan sifat-sifat tersebut saling berkaitan dan terkumpul pada (NamaNya) Allah yang Esa atau Ahad. Justeru itu setiap karya kesenian Islam bertujnaaan dan ke Esaan Allah.

Hasil kerja yang indah dalam segala bentuk kesenian Islam terdahulu memupuk suasana yang mendorong jiwa kepada ‘Yang Benar’.

Dalam Islam keindahan dikaitkan dengan keinginan kepada sumber mencari kebenaran, ‘Tuhan itu indah dan Dia cintakan kepada Keindahan’. (Perawi Muslim).

Dalam Islam keindahan seni terhasil melalui jalan rasional dengan perundangan yang logik lagi objektif dimana sains, matematik dan astronomi menjadi alat untuk melahirkan seni yang indah. Maka prinsip rekabentuk dapat ditemui dengan jelas tanpa sebarang kekaburan. Prinsip-prinsip tampak seperti kadaran, ulangan, keseimbangan simetri, susunan, kepelbagaian, dan keharmonian dinyatakan dalam bentuk tampak dengan berkesan dan tepat. Prinsip keindahan tersebut adalah ‘fundamental’ dalam kesenian Islam kerana sifat seninya yang menolak kecelaruan, ketegangan, individualistik, kekacauan, provokatif dan lain-lain sifat seni yang tidak tenteram.

Semestinya estatika atau keindahan dalam kesenian Islam berdasarkan kepada kalimah Tawhid atau kalimah Tayyibah. Kalimah yang dipertahankan dengan nyawa atau apa saja. Disini bermaksud bahawa para pengkarya yang taqwa dan berakal menampilkan kerja seni dengan tuntunan kalimah tersebut tanpa menyinggung Penciptanya. Kalimah tersebut ditegaskan dengan Al-Quran dimana AI-Quran itu sendiri adalah wahyu yang terindah dari sudut sasteranya dan ianya menjadi bahan rujuk agama dan juga seni. Pengkaji seperti L. Faruqi mendapati pada Al-Quran mempunyai keindahan dari sudut bahasa dan sastera dan ianya berciri ‘abstrak’ yang tidak mampu ditiru.

Estatika kesenian Islam didasarkan kepada sifat Tawhid tentunya mendapat petunjuk dari Wahyu iaitu Al-Quran dan as-Sunnah walaupun secara tidak langsung. Umumnya keindahan kesenian Islam ditelusuri dengan melihat atau mengamati kesenian arabes dan kaligrafi iaitu ‘seni utama’ yang menyatukan seni seni lain. Dari dua jenis seni tersebut maka dapatlah dikaji dan dianalisa bentuk dan ‘content’ kesenian Islam. Pada kedua-dua jenis kesenian itu dapat dirumuskan bahawa terdapat ciri-ciri stalisasi, ulangan, tiada penonjolan atau ‘non-individuation’, tiada berkembang atau ‘non-developmental’, bersambungan dan bersendirian. Keseluruhan ciri tersebut secara tidak langsung menekankan kepada pernyataan Tawhid iaitu seni yang monggambarkan Tuhan yang tiada upaya dan daya untuk digambarkan.

Stalisasi ditakrifkan sebagai upaya merubah alam kepada yang esensi atau bentuk alam diubah menjadi bentuk abstrak sebagai gesaan untuk tidak meniru hasil ciptaanNya terutama makluk bernyawa. Secara tidak langsung bererti tidak mahu menyamai ciptaanNya. CiptaanNya itu dengan demikian dimuliakan lagi dihormati sebagai tanda-tanda kebesaran Allah. Hal ini juga berhubungkait dengan isyarat Al-Quran yang menyatakan tiada sesuatupun yang menyerupaiNya.

Ketiadaan penonjolan bermaksud bentuk tidak menampakkan penonjolan kerana bentuk itu diulang-ulang seperti tiada akhirnya. Bentuk-bentuk tersebut tidak membawa kepada penegasan. Secara simbolik, bermaksud Allahlah yang mula dan dan Dialah yang akhir, kekal dan selama-lamanya. Secara tidak langsung ianya amat berhubung kait dengan cetusan kefahaman Tawhid.

Ulangan atau ‘repitition’ bermaksud bentuk diulang-ulang tanpa akhiran. Tiada berkembang bermaksud ketiadaan kemuncak dan anti-kemuncak di mana ciri-ciri tersebut berhubungan dengan cetusan penghayatan Tawhid para pengkarya yang mengenal Islam.

Tema infiniti dalam arabes dan kaligrafi menjelaskan kefahaman Islam tentang bagaimana keseniannya perlu dibentuk dan dengan ini membezakannya dari kesenian lain. Justru itu, keindahan yang difahami oleh Islam adalah berpaksikan anjuran Tawhid yang membentuk ciri-ciri kesenian Islam.
[i] Talib, Anwar.1998. The Tradition of Tauhid in Islamic Art; Decoration and Interior Spaces of The Traditional Mosque. Thesis UKM.

No comments:

Post a Comment