Tuesday 14 July 2009

Simbol dan Perlambangan











Masjid Nusantara - Simbol dan perlambangannya

Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Seni bina masjid Nusantara lahir dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, Filipina, Selatan Thailand dan Tanah Melayu. Bahasa seni bina yang dihasilkan memiliki ciri tersendiri serta bebas daripada gaya-gaya seni bina dari Timur Tengah dan India.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang seperti yang biasa terdapat di Timur Tengah.
Masjid Kampung Laut (dibina sekitar 1700 Masihi) Kota Baru dan Masjid Agung Demak (1479M) di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.
Pada masjid-masjid tradisi di Indonesia, biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk dan pembersihan juga dikatakan merupakan lambang samudera.
Di samping berfungsi sebagai rumah ibadat, masjid juga mengandungi makna simbolik yang berisi ajaran-ajaran Islam.

Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk seni bina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstraktif mahupun dekoratif.

Prinsip reka bentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka menurut Halim Nasir berasaskan reka bentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya seni bina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi dari bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang memiliki pelan segi empat tepat dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka. Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolik atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesma.

Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarikat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenal Allah yang Maha Tinggi.
Pada bahagian puncak atap masjid (maksura) biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, kalimah Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam. Lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab.

Ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia. Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.


Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bosporus dan Constantinople, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara. Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.


Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa di lingkupi oleh bentuk lain. Perkara ini melambangkan hanya Allah yang diingati atau dituju semasa bersolat.

Allah merupakan zat yang maha Tinggi dan maha segala-galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya pra syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam.

Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.

Namun demikian masyarakat Islam hari ini telah menganggap bangunan berkubah sebagai identiti dalam pembangunan masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam.

Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanafaat.
(Al-Isra': 26)
Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya. (Al-Isra':27)Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahanbinaan untuk pembangunan masjidhendaklah dihindari daripada kemung-kinan berlebih-lebihan sebagaimanafirman Allah:

Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.
(Al-An`am: 141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara bakhil juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil, akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.
(Al-Furqan : 67)

Walau bagaimanapun perlu kefahaman dan penelitian yang mendalam dalam pembangunan masjid. Cendekiawan Islam Dr. Yusof Qardhawi dalam tulisannya Masjid dan Pembangunan, melarang pembangunan masjid yang menyerupai bangunan-bangunan bukan Islam serta hilang identiti Islam pada bangunan tersebut.

Masjid seharusnya mewakili kefahaan masyarakat serta berfungsi dengan baik terhadap lingkungannya.
- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

No comments:

Post a Comment